KUALA LUMPUR, 11 MEI (Berita Harian) – Selat Melaka kini muncul sebagai laluan transit minyak terbesar dunia, mengatasi Selat Hormuz dari segi jumlah aliran minyak laut global.
Kedudukan strategik selat itu bukan sahaja mengukuhkan peranannya sebagai nadi perdagangan antarabangsa, malah menjadikannya antara aset geopolitik dan ekonomi paling penting di dunia.
Penganalisis TA Securities, Shazma Juliana Abu Bakar, berkata Selat Melaka mengendalikan kira-kira 23.2 juta tong minyak sehari pada separuh pertama 2025, bersamaan sekitar 29 peratus daripada aliran minyak laut global.
Katanya, jumlah itu melebihi Selat Hormuz yang merekodkan sekitar 20.9 juta tong sehari dalam tempoh sama.
Tambahnya, selat sepanjang kira-kira 900 hingga 930 kilometer itu menjadi laluan maritim paling cekap yang menghubungkan Lautan Hindi dengan Laut China Selatan serta menghubungkan ekonomi utama dunia termasuk Eropah, Asia Barat, Asia Selatan dan Asia Timur.
Jelasnya, faktor jarak yang lebih pendek, katanya, membantu mengurangkan kos bahan api, masa penghantaran dan kos logistik, sekali gus menjadikan Selat Melaka antara koridor perdagangan paling sibuk di dunia.
“Kepentingan selat itu turut terserlah apabila lebih 102,000 kapal melalui laluan berkenaan pada 2025, meningkat daripada 94,300 kapal pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan itu mencerminkan pertumbuhan perdagangan global dan integrasi rantaian bekalan serantau yang semakin mendalam,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Mengulas lanjut, Shazma berkata dalam sektor tenaga, lebih 70 peratus daripada jumlah minyak yang melalui Selat Melaka terdiri daripada minyak mentah, manakala selebihnya adalah produk petroleum bertapis.
Beliau berkata, bekalan utama datang daripada negara Teluk seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq, Iran dan Kuwait yang menyumbang lebih 60 peratus aliran minyak mentah melalui laluan itu pada separuh pertama 2025.
Di pihak permintaan pula, katanya, Asia Timur menjadi pengguna utama laluan berkenaan, dengan China sahaja menyumbang kira-kira 48 peratus daripada jumlah import minyak yang melalui Selat Melaka.
Keadaan itu, katanya, mengukuhkan kedudukan selat berkenaan sebagai talian hayat tenaga utama bagi rantau Asia.
“Selain minyak mentah, Selat Melaka juga menjadi laluan penting bagi gas asli cecair (LNG), dengan kira-kira 9.2 bilion kaki padu sehari melalui kawasan itu pada separuh pertama 2025.
“Qatar kekal sebagai pembekal utama LNG, manakala eksport LNG ke China melalui laluan tersebut meningkat lebih dua kali ganda sejak 2020,” katanya.
Shazma berkata, walaupun sering dibandingkan dengan Selat Hormuz, laporan TA Securities itu menegaskan profil risiko kedua-dua laluan berkenaan adalah berbeza.
Beliau berkata Selat Melaka beroperasi di bawah rangka kerja berasaskan peraturan antarabangsa melalui Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS), yang menjamin hak laluan transit tanpa gangguan dan menghalang mana-mana negara daripada menyekat atau mengenakan tol terhadap kapal yang melaluinya.
Dari sudut operasi pula, katanya, Selat Melaka diurus bersama oleh Malaysia, Indonesia dan Singapura dengan kerjasama kukuh dalam aspek keselamatan maritim, navigasi dan pemantauan trafik kapal.
Keadaan itu menjadikan risiko di Selat Melaka lebih bersifat teknikal dan operasi seperti kesesakan atau kemalangan berbanding Selat Hormuz yang lebih terdedah kepada ketegangan geopolitik.
“Laporan turut menyimpulkan bahawa meskipun terdapat cadangan pembangunan alternatif seperti projek jambatan darat Thailand, Selat Melaka dijangka kekal sebagai laluan perdagangan global yang paling penting dan sukar digantikan dalam jangka panjang,” katanya.




