KUALA LUMPUR, 7 MEI (Bernama) – Bioalpha Holdings Bhd terus mengekalkan teras perniagaan utamanya dalam menyediakan perkhidmatan pengilang peralatan asal (OEM), pengilang reka bentuk asal (ODM) dan organisasi pembangunan serta pengilangan kontrak (CDMO) secara profesional kepada pelanggan global.
Menurut kenyataan syarikat, pengeluar produk kesihatan itu telah membangunkan sistem penanaman dan perolehan sendiri bagi herba utama termasuk misai kucing, tongkat ali dan durian belanda, sekali gus membolehkan kawalan kualiti yang ketat dari peringkat sumber.
“Semua fasiliti pengilangan Bioalpha mematuhi standard pensijilan halal, sekali gus memastikan kualiti pengeluaran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta memudahkan kemasukan ke pelbagai pasaran global. Sebagai syarikat tersenarai awam, Bioalpha turut mengekalkan ketelusan kewangan dan kredibiliti jangka panjang kepada rakan niaga,” menurut kenyataan itu.
Bioalpha memaklumkan bahawa operasi misai kucing mencerminkan kekuatan model perniagaan bersepadu syarikat tersebut.
Syarikat itu memaklumkan, penanaman berstandard telah dimulakan pada 2012, manakala eksport antarabangsa bermula pada 2018.
“Pada masa ini, 100 peratus misai kucing ditanam sendiri dan diperakui sepenuhnya di bawah Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MYGAP).
“Ia mengekalkan kawasan penanaman khusus seluas kira-kira 12.1406 hektar di Pasir Raja dan 28.328 hektar di Desaru, sekali gus memastikan bekalan bahan mentah yang stabil, boleh dijejaki dan berkualiti tinggi,” menurutnya.
Menurut Bioalpha, jumlah eksport tahunan semasa bagi misai kucing adalah sekitar 10 tan, dengan kapasiti dijangka meningkat kepada 20 tan dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memenuhi permintaan antarabangsa yang semakin meningkat.
Syarikat itu memaklumkan, pasaran Korea Selatan muncul sebagai pemacu pertumbuhan utama, dengan Bioalpha menjalin kerjasama langsung dengan sebuah pemilik jenama terkemuka Korea di bawah perjanjian kerahsiaan (NDA) sebagai pembekal utama bagi bahan mentah dan produk siap.




