KUALA LUMPUR, 8 MEI ( Berita Harian) – Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mengumumkan penurunan kadar keuntungan bagi skim pembiayaan perniagaan PROSPER GROW kepada 3.5 peratus setahun, sekali gus menjadikannya antara tawaran pembiayaan paling kompetitif dalam pasaran ketika ini.
Kadar baharu itu diturunkan berbanding kadar antara 5.0 hingga 6.75 peratus yang ditawarkan sebelum ini.
Penyelarasan kadar berkenaan akan berkuat kuasa bagi semua kelulusan pembiayaan bermula 1 Januari 2026, termasuk kepada penerima sedia ada yang diluluskan pada tahun ini.
Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera sepanjang tahun 2026, khususnya bagi mereka yang memerlukan kemudahan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM1 juta.
Langkah berkenaan dilihat penting bagi membantu pengusaha mengembangkan perniagaan dan mengekalkan operasi dalam keadaan kos input, perbelanjaan logistik serta ketidaktentuan rantaian bekalan global yang semakin mencabar.
Pengurangan kadar keuntungan antara 1.5 hingga 3.25 peratus itu dijangka mampu menghasilkan penjimatan kos operasi yang signifikan kepada syarikat. Penjimatan berkenaan boleh membantu memperkukuh aliran tunai, meningkatkan daya tahan kewangan serta membuka ruang pelaburan semula untuk pertumbuhan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, pendekatan proaktif itu bertujuan memastikan usahawan Bumiputera terus kekal berdaya saing.
“Dalam ketidaktentuan ekonomi global, tekanan kos merupakan realiti yang perlu ditangani. Penurunan kadar kepada 3.5 peratus bukan sekadar insentif kewangan, malah satu langkah penting untuk memastikan usahawan Bumiputera kekal berdaya tahan, kompetitif dan mampu berkembang secara mampan dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, PUNB komited untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang relevan dan responsif dalam memenuhi keperluan komuniti perniagaan yang sentiasa berkembang, selari dengan agenda kerajaan di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Pelaksanaan pengurangan kadar itu juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan awal Pelan Strategik Lima Tahun PUNB R30 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang berpaksikan tiga teras utama iaitu Memperkukuh, Peningkatan Skala dan Kemampanan.
Melalui penjajaran semula produk kewangannya, PUNB turut menawarkan skim PROSPER GREAT dengan pembiayaan sehingga RM10 juta bagi menyokong transformasi syarikat ke sektor strategik seperti teknologi hijau.
Selain itu, skim PROSPER IMPACT atau NOVA disediakan dengan had pembiayaan sehingga RM20 juta bagi tujuan perolehan kerajaan atau pelaksanaan projek berskala besar.




