KUALA LUMPUR, 9 Apr (NSTP) — Malaysia tidak memerlukan pakej rangsangan ekonomi baharu buat masa ini memandangkan keadaan ekonomi negara masih berada pada landasan kukuh dengan pertumbuhan stabil dan inflasi terkawal.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata, pakej rangsangan ekonomi bukan sahaja tidak diperlukan ketika ini, malah boleh meningkatkan tekanan inflasi.
“Pakej rangsangan biasanya diperlukan apabila ekonomi berdepan risiko kemelesetan seperti ketika pandemik COVID-19. Namun ketika ini, pertumbuhan masih kukuh dan inflasi berada dalam keadaan terkawal,” katanya pada taklimat media Laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) Bank Dunia bagi April 2026 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Apurva berkata, perangkaan semasa menunjukkan inflasi Malaysia kekal stabil sepanjang dua hingga tiga tahun lalu walaupun ekonomi berkembang lebih pantas berbanding purata serantau.
Beliau menjelaskan keadaan pertumbuhan kukuh di samping kadar inflasi yang rendah adalah satu keadaan yang dianggap sebagai ‘sweet spot’ dalam ekonomi.
Selain itu, katanya, permintaan domestik yang kukuh, khususnya perbelanjaan pengguna, terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh pasaran buruh yang stabil serta peningkatan gaji benar.
Dalam masa sama, Apurva berkata, kadar pengangguran negara kini berada pada paras terendah dalam tempoh 14 tahun di bawah 3.0 peratus, sekali gus mencerminkan kekuatan asas ekonomi domestik.
Walaupun begitu, beliau berkata, kerajaan masih perlu berwaspada terhadap risiko luaran seperti konflik geopolitik dan kenaikan harga komoditi global yang boleh memberi kesan tidak langsung kepada inflasi dan pertumbuhan.
“Buat masa sekarang, pendekatan terbaik adalah mengekalkan dasar fiskal berhemah serta memberi tumpuan kepada pembaharuan struktur ekonomi bagi memastikan pertumbuhan mampan dalam jangka panjang,” katanya.




