KUANTAN, 27 OKT – Program Turun Padang Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) bersama-sama Forum Usahawan Bumiputera Zon Timur merupakan platform penting untuk mendengar secara langsung pandangan, aspirasi serta cabaran yang dihadapi oleh usahawan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menteri Besar Pahang merangkap Penasihat Khas MPUPK, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata program seumpama ini penting bagi mendapatkan input daripada usahawan di peringkat negeri, mengenal pasti isu yang dihadapi serta merangka penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Menurut beliau, usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan perlu diteruskan melalui peluasan akses kepada pembiayaan, pemerkasaan usahawan Bumiputera serta penerapan inovasi dan pendigitalan dalam perniagaan.
Beliau turut menekankan kepentingan usahawan tempatan merebut peluang ekonomi yang tersedia, termasuk potensi pembangunan di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), bagi meningkatkan daya saing dan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Program yang berlangsung di sini, kelmarin merupakan siri ketiga selepas penganjuran di Zon Utara, Sungai Petani, Kedah dan Zon Selatan, Ayer Keroh, Melaka.
Forum tersebut menampilkan Wan Rosdy sebagai ahli panel bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam; serta Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.
Program ini turut menjadi medan untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara usahawan dengan agensi kerajaan, di samping membincangkan langkah bersesuaian bagi menangani cabaran perniagaan dan memenuhi keperluan usahawan secara lebih berkesan.
Beliau berharap input yang dikemukakan melalui sesi dialog dan forum ini dapat membantu memperkukuh pembangunan PMKS serta melahirkan usahawan Bumiputera yang lebih berdaya saing, inovatif dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.




