KUALA LUMPUR, 15 OKT ( Berita Harian) – Seorang pengurus klinik menempuh pengalaman unik yang mungkin sukar diulangi apabila melihat jumlah RM1 bilion di dalam baki akaun perbankan digital dalam talian miliknya.
Kejadian itu mula tular selepas Wan Muhammad Fairus, 33, memuat naik tangkap layar memaparkan angka 10 digit dalam aplikasi perbankan dalam talian miliknya sambil berkongsi pengalaman terbabit dengan warganet.
”Waktu itu saya dalam bilik tidur sedang mahu membuat transaksi, tidak silap duit dalam akaun cuma ada bawah RM1,000 sahaja. Bila buka dan tekan ikon sembunyikan baki, saya terkejut tengok ada jumlah yang terlalu banyak macam itu.
”Saya memang terkejut! Tangan saya pun menggeletar pegang telefon. Saya cuba log keluar dan masuk balik, duit itu masih ada.
“Bila tengok penyata bank dan tanya ChatGPT berapa jumlah angka itu, baru tahu nilainya mencecah RM1 bilion,” katanya sambil ketawa ketika dihubungi hari ini.
Bapa kepada empat cahaya mata yang menetap di Samariang, Kuching, berkata menyedari wang terbabit bukan miliknya, dia percaya berlaku kesilapan teknikal lantas segera menghubungi pihak bank untuk mendapatkan penjelasan.
Katanya, dia tidak terfikir untuk menggunakan wang itu kerana sedar ia bukan haknya dan bimbang berdepan implikasi undang-undang.
“Selepas hubungi pihak bank, mereka maklumkan berlaku masalah teknikal dan menyekat sementara akaun saya hingga jam 4 petang semalam.
“Semuanya selesai apabila pihak bank membuat pembatalan semula transaksi dan wang asal saya di dalam akaun tidak terjejas.
“Pihak bank ada memaklumkan mahu beri ganjaran, tetapi saya belum terima dan tidak tahu ganjaran apa. Mungkin kena tunggu makluman melalui e-mel atau pengumuman daripada mereka nanti,” katanya.




