ARAU,12 OKT ( Berita Harian) – Hanya individu atau wakil syarikat yang menjadi perantara berdaftar dan mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dibenarkan menjalankan urusan pejabat jabatan itu di seluruh negara mulai Januari 2027.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ketetapan baharu itu adalah langkah pihaknya dalam mengawal selia aktiviti pengantara yang mewakili pelanggan supaya lebih teratur, telus dan berintegriti.
Katanya, pendaftaran perantara berkenaan akan dibuka secara percuma bermula 1 November ini melalui platform dalam talian yang disediakan pihak JPJ.
“Setiap permohonan yang diluluskan akan diberikan pengenalan rasmi (ID) digital yang mengandungi nombor siri dengan tempoh sah laku selama dua tahun.
“Bagi tempoh November hingga Disember ini, kita masih membenarkan mereka yang belum mendaftar berurusan di kaunter.
Namun, menjelang Januari depan, wakil syarikat atau ejen persendirian yang gagal mempamerkan ID digital yang sah sama sekali tidak akan dibenarkan menjalankan urus niaga,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kaunter JPJ Perlis, di sini, hari ini.
Aedy Fadly berkata, langkah mewajibkan pendaftaran itu diambil susulan aduan kes penipuan membabitkan pengantara yang mengambil wang pelanggan serta kes penipuan pertukaran hak milik kenderaan yang berlaku di Perak baru-baru ini.
Katanya, melalui sistem ID berkenaan, pihak JPJ dapat merekod, menjejaki dan mengesan sebarang urus niaga sekiranya berlaku salah laku.
Bagaimanapun, katanya, kelulusan pendaftaran itu bukan satu bentuk sokongan mahupun jaminan daripada JPJ terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak perantara berkenaan.
“JPJ tidak mempunyai sebarang ikatan kerjasama perniagaan dengan mereka dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian, penipuan, caj tambahan atau pertikaian yang timbul daripada urusan persendirian antara pelanggan dengan pihak perantara.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengutamakan saluran rasmi jabatan seperti aplikasi MyJPJ, portal awam dan kaunter bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini,” katanya.




