KUALA LUMPUR, 6 OKT ( Berita Harian) – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata Group Bhd, Nik Rizal Kamil dilantik menganggotai Lembaga Pengarah GSMA bagi tempoh dua tahun bermula Januari 2027.
Pelantikan itu meletakkan Nik Rizal dalam kalangan 26 pemimpin kanan industri telekomunikasi global yang akan menganggotai lembaga berkenaan bagi penggal 2027 hingga 2028.
Lembaga baharu GSMA akan berkhidmat mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028 dan dianggotai wakil kumpulan telekomunikasi global serta pengendali mudah alih bebas.
GSMA ialah organisasi global yang mewakili pengendali mudah alih dan syarikat dalam ekosistem digital, selain menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar serta rakan teknologi.
Organisasi itu memainkan peranan dalam memacu agenda keterangkuman digital, akses spektrum, peraturan moden, privasi, kelestarian serta inovasi dalam industri mudah alih dunia.
Axiata dalam kenyataan berkata, pelantikan Nik Rizal mengukuhkan sumbangan berterusan kumpulan itu dalam membentuk masa depan ketersambungan global, inovasi digital dan pertumbuhan inklusif.
Katanya, pelantikan berkenaan turut memperkukuh kedudukan Axiata dalam industri mudah alih global, selain meneruskan penglibatan kumpulan itu dalam kepimpinan dan agenda GSMA.
“Pelantikan ini mencerminkan peranan Axiata dalam memajukan pelaburan dan kemampanan kewangan industri, memperjuangkan keutamaan industri di seluruh pasaran, mempercepatkan inovasi serta mengembangkan ketersambungan digital sebagai pemangkin penting kepada ekonomi digital dan masyarakat serta perniagaan yang bersedia menghadapi era kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Lembaga Pengarah GSMA bertanggungjawab memberikan hala tuju strategik terhadap keutamaan utama industri, selain membantu membentuk masa depan ketersambungan mudah alih.
Nik Rizal berkata, beliau berbesar hati diberi peluang berkhidmat dalam Lembaga Pengarah GSMA ketika industri telekomunikasi sedang melalui perubahan besar dipacu perkembangan 5G, AI, pengkomputeran awan dan teknologi generasi akan datang.
“Kesalinghubungan mudah alih telah berkembang daripada perkhidmatan komunikasi kepada pemacu kukuh pertumbuhan ekonomi, keterangkuman digital dan inovasi.
“Cabaran kita bukan sekadar memperluas ketersambungan, tetapi juga menterjemahkannya kepada pertumbuhan mampan, daya tahan lebih kukuh dan nilai jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman Axiata di ASEAN dan Asia Selatan menunjukkan teknologi serta ketersambungan mampu mempercepatkan pembangunan, memperkasakan perniagaan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.
“Ketika industri bergerak ke arah perkhidmatan berasaskan AI, rangkaian pintar, platform digital serta kerjasama awam-swasta yang lebih kukuh, ekosistem mudah alih akan menjadi semakin penting dalam menyokong pertumbuhan inklusif dan transformasi digital.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan anggota Lembaga Pengarah lain untuk memajukan dasar, perkongsian dan inovasi yang mengukuhkan ekosistem, membina kepercayaan dan daya tahan serta memastikan manfaat teknologi dikongsi secara meluas, selamat dan mampan,” katanya.
Selain mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah GSMA, pengurusan kanan Axiata turut terbabit secara aktif dalam jawatankuasa peringkat lembaga, kumpulan kerja dan pasukan petugas organisasi itu.
Penglibatan berkenaan membolehkan Axiata membawa perspektif ASEAN dan Asia Selatan dalam perbincangan mengenai isu serta inisiatif utama industri telekomunikasi global.
Nik Rizal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas sebelum itu berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan.
Beliau mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang telekomunikasi, infrastruktur digital, pelaburan, pasaran modal, perbankan dan kewangan korporat.
Axiata adalah antara kumpulan telekomunikasi dan teknologi utama Asia dengan perniagaan di Asia Tenggara dan Asia Selatan.
Menerusi strategi Axiata28: Advancing Asia, kumpulan itu memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan, pengukuhan prestasi serta penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham, pelanggan dan komuniti.



