KOTA BHARU, 5 SEPT – Pengasas ELRAH Exclusive, Mohd Hilmi Che Azman (El Azman) tampil dengan misi menyelamatkan kelangsungan bola sepak Kelantan menerusi cadangan mengadakan jualan amal membabitkan 20,000 helai Baju Melayu ELRAH stok lama.
El Azman yang juga penaja Kelantan Red Warriors FC berkata, inisiatif berkenaan dicetuskan atas dasar keprihatinan terhadap masa depan bola sepak negeri itu dan bukan semata-mata atas kepentingan perniagaan.
Menurutnya, 20,000 helai Baju Melayu berkenaan akan ditawarkan pada harga RM50 sehelai, dengan sasaran mengumpulkan dana sebanyak RM1 juta.
“RM1 juta mungkin tak selesaikan semua benda, tapi sekurang-kurangnya kita tak duduk diam tengok bola Kelantan mati.
“Kita tak perlu tuduh siapa salah dan tak perlu korek cerita lama. Yang penting, 20,000 orang berdiri bersama. RM50 ini menjadi bukti anak negeri masih ambil peduli,” katanya.
El Azman berkata, usaha itu bukan bertujuan mengangkat jenama ELRAH semata-mata, sebaliknya mahu menggerakkan sokongan masyarakat bagi membantu memastikan bola sepak Kelantan terus mempunyai masa depan.
Beliau menyifatkan usaha tersebut sebagai satu bentuk solidariti daripada rakyat Kelantan yang masih mempunyai rasa tanggungjawab terhadap pasukan dan bola sepak negeri.
“Ini bukan pasal perniagaan dan bukan pasal jenama ELRAH. Ini tentang lencana di dada dan masa depan bola sepak Kelantan.
“Saya tak nak tengok bola sepak Kelantan mati. Kalau kita boleh buat sesuatu, kita buat. Jangan hanya duduk dan tengok,” katanya.
Jelasnya, sekiranya sasaran 20,000 helai Baju Melayu itu berjaya dicapai pada harga RM50 setiap satu, jumlah RM1 juta dapat dikumpulkan untuk disalurkan kepada usaha membantu kelangsungan bola sepak Kelantan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru penyokong dan rakyat Kelantan supaya bersama-sama menyahut inisiatif berkenaan sekiranya ia dilaksanakan.
“Kalau 20,000 orang sanggup berdiri bersama, walaupun hanya dengan RM50, itu sudah menunjukkan bahawa bola sepak Kelantan masih ada orang yang peduli.
“Ini masa untuk kita bina semula. Gomo Kelantan Gomo,” katanya.




