RAWANG, 3 SEPT – Usahawan, Datuk Red, 48, menegaskan dia mahu mendapatkan pengesahan mahkamah berhubung status lafaz rujuk yang didakwanya pernah berlaku dengan bekas isteri, Adira Suhaimi, 35, bagi memastikan status hubungan mereka dari sudut hukum syarak.
Red atau nama sebenarnya Adenan Abu berkata, tindakan memfailkan permohonan pengesahan itu bukan bertujuan memanjangkan isu, sebaliknya bagi mendapatkan kepastian mengenai status rujuk berkenaan.
Katanya, jika mahkamah mengesahkan lafaz rujuk itu sah, dia tetap akan mengambil tindakan untuk menceraikan semula Adira.
“Apa pun, bermakna kes ini masih lambat lagi untuk selesai. Sebenarnya dalam hal ini, saya cuma nak bercakap mengenai urusan permohonan cerai daripada pihak saya.
“Islam itu mudah, tetapi saya tidak mahu ambil mudah. Saya cuma nak dapatkan pengesahan. Kalau memang benar (masih ada ikatan suami isteri), tidak ada masalah. Saya akan uruskan dan selesaikan perkara ini dengan mudah.
“Kalau tidak benar pun (tidak berlaku rujuk), lagi mudah. Saya cuma nak pengesahan rujuk, itu sahaja,” katanya kepada BH.
Red berkata, prosiding kes berkenaan sepatutnya boleh diselesaikan lebih awal, namun proses mendapatkan keterangan daripada saksi menyebabkan perbicaraan mengambil masa.
“Sebenarnya perkara ini sudah boleh selesai lebih awal, tetapi disebabkan ada macam-macam saksi dan sebagainya, kes jadi meleret dan panjang.
“Jadi, tidak mengapa. Kita tunggu keputusan,” katanya.
Terdahulu, Red hadir bersama peguam syarie yang mewakilinya, Muhammad Akmal Amzan, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, di sini, hari ini selepas Adira memberikan keterangan dalam prosiding pengesahan lafaz rujuk.
Red berkata, kehadirannya di mahkamah hari ini adalah atas kesedaran bahawa dia tidak mahu timbul dakwaan seolah-olah dirinya sengaja melambatkan proses berkenaan.
“Hari ini pun, sebenarnya tidak ada keperluan untuk saya datang ke mahkamah. Tetapi saya tidak mahu nanti saya pula dipersalahkan kerana dikatakan melambatkan kes ini. Jadi, sebab itu saya hadir.
“Bagaimanapun, kes ini ditangguhkan lagi sehingga Oktober depan untuk proses penghujahan sahaja. Belum ada keputusan lagi. Jadi, saya serahkan semua kepada peguam,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya mahkamah mengesahkan lafaz rujuk berkenaan sah, Red berkata dia tetap akan menceraikan semula Adira.
“Ya, tidak ada masalah. Memang saya akan lepaskan dia. Macam saya cakap tadi, saya nak mudahkan.
“Islam memang mudah, cuma saya nak sahkan dahulu sama ada rujuk itu sah atau tidak. Itu sahaja.
“Kalau pengesahan rujuk sah, saya tetap akan lepaskan dia,” katanya.
Pada 19 Oktober depan, kedua-dua pihak melalui peguam syarie masing-masing dijangka memfailkan penghujahan berhubung permohonan pengesahan lafaz rujuk berkenaan.
Terdahulu, mahkamah menolak permohonan Red untuk menarik balik kes pengesahan lafaz rujuk terhadap Adira dan mengarahkan keterangan penuh kedua-dua pihak didengar terlebih dahulu.
Hakim Syarie, Tuan A’fif Sofiuddin Syeikh Abdul Ghani, kemudian menetapkan prosiding diteruskan bagi mendapatkan keterangan pihak terbabit.
Menerusi permohonan pengesahan lafaz rujuk yang difailkan pada 18 Disember lalu, Red mendakwa berlaku lafaz rujuk pada Mei 2024 ketika Adira masih dalam tempoh idah selepas perceraian mereka.
Status dakwaan berkenaan masih dalam prosiding dan mahkamah belum membuat keputusan mengenainya.
Red dan Adira mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 sebelum bercerai pada 24 April 2024. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata.




