KUALA LUMPUR, 3 SEPT – Kurang 24 jam selepas aktivitis kemanusian, Zainal Rashid Ahmad ( ZRA) tampil dalam siaran langsung bersama pesawah dan merayu supaya bekalan baja dihantar segera, isu tersebut mendapat maklumbalas segera Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamad dalam kenyataan medianya berkata, baja tersebut akan dihantar segera kepada pesawah dalam masa terdekat.
Katanya, syarikat tender yang membekalkan baja juga disarankan ditamatkan kontrak dan digantikan dengan anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
“Bagaimanapun, proses penghantaran baja berkenaan dijangka mengambil masa sehingga 10 hari,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Isu kelewatan bekalan baja tersebut mendapat perhatian meluas daripada pesawah dan rakyat Malaysia susulan siaran langsung ZRA kelmarin.
Bukan sekadar membangkitkan masalah yang dihadapi pesawah, ZRA turut mengambil langkah mendapatkan khidmat peguam bagi mewakili pesawah dalam usaha memperjuangkan hak mereka melalui saluran undang-undang.
Usaha berkenaan mendapat sokongan daripada puluhan ribu pesawah dan rakyat Malaysia yang bersama-sama menularkan isu tersebut serta mendesak pihak berwajib supaya segera mengambil tindakan terhadap nasib 70 peratus pesawah yang didakwa masih dinafikan hak mereka.
Perkembangan ini dilihat sebagai satu tindakan susulan segera selepas isu yang dibawa ZRA bersama pesawah mendapat perhatian luas daripada masyarakat.




