KUALA LUMPUR, 31 OGOS ( Berita Harian) – Meninggalkan kerjaya dalam bidang kejuruteraan perisian bukan keputusan mudah, namun itulah langkah berani yang diambil Srinath Arumugam demi merealisasikan visinya mentransformasikan sektor pertanian negara.
Menerusi MY Farm Agro, beliau membuktikan teknologi pintar mampu meningkatkan produktiviti ladang, mengurangkan kos operasi serta menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor agro.
Walaupun tidak mempunyai latar belakang sebagai petani, Srinath percaya inovasi mampu menjadi pemangkin kepada perubahan dalam industri pertanian. Keyakinan itu mendorong beliau membangunkan penyelesaian yang menggabungkan sistem fertigasi, Internet Kebendaan (IoT), automasi dan pertanian berasaskan data bagi menjadikan operasi ladang lebih cekap dan mampan.
“Berbekalkan keyakinan bahawa inovasi mampu menjadi pemangkin perubahan, MY Farm Agro memperkenalkan penyelesaian pertanian tepat bagi menjadikan operasi ladang lebih cekap, mampan dan menguntungkan,” katanya.
Beliau berkata, MY Farm Agro bukan sekadar memberi tumpuan kepada peningkatan hasil tanaman, tetapi berusaha menangani tiga cabaran utama sektor pertanian negara iaitu produktiviti yang rendah, populasi petani yang semakin berusia serta isu keselamatan makanan. Pendekatan itu diyakini mampu memperkukuh daya tahan sektor agro dalam jangka panjang.
Melalui penggunaan fertigasi, sensor IoT dan automasi, syarikat itu membantu meningkatkan hasil tanaman di samping mengurangkan penggunaan air, baja serta kos buruh.
MY Farm Agro turut melaksanakan inisiatif perusahaan sosial yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat muda bagi melahirkan lebih ramai usahawan dan petani generasi baharu.
Keistimewaan MY Farm Agro terletak pada pendekatan holistik yang menggabungkan pertanian komersial, teknologi pertanian pintar, latihan, khidmat perundingan, pembekalan input pertanian serta pembangunan belia dalam satu ekosistem. Pendekatan bersepadu itu membolehkan syarikat menawarkan penyelesaian yang lebih menyeluruh kepada pemain industri pertanian.
Bagi memperkukuh model perniagaan, Srinath menyertai Shell LiveWire Malaysia 2026, yang disifatkannya sebagai platform terbaik untuk mendapatkan bimbingan mentor, memperhalusi strategi perniagaan serta membina rangkaian bersama usahawan lain.
Penyertaan itu turut membuka peluang untuk mempercepatkan pertumbuhan syarikat dan memperluaskan impak kepada sektor pertanian negara.




