KUALA LUMPUR, 28 OGOS (Berita Harian) – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pagi ini bagi berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen.
Ahli Parlimen Tapah yang juga Timbalan Presiden MIC itu tiba jam 8.25 pagi dengan berpakaian kemeja putih berkot hitam.
Beliau diiringi beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebaik pintu kenderaan membawa beliau tiba, lebih 50 penyokong yang berpakaian serba hitam berkumpul lebih awal terus melaungkan “Hidup Datuk Seri” sebagai tanda sokongan terhadap Saravanan.
Situasi di pekarangan mahkamah masih tenang dan terkawal dengan kawalan ketat pasukan keselamatan.
Semalam, Saravanan mendakwa pertuduhan yang bakal dihadapinya berpunca daripada kenyataan pihak ketiga yang mengaitkannya dengan isu pengambilan pekerja asing ketika pandemik COVID-19 pada 2022.
Beliau dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berkaitan perbuatan meminta, menerima, memberi, menjanjikan atau menawarkan suapan.
Kawalan keselamatan dipertingkat
Sementara itu, tinjauan mendapati kawalan keselamatan di pintu masuk utama Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, pagi ini diperketatkan.
Berdasarkan tinjauan wartawan, terdapat lebih 20 anggota polis melaksanakan saringan keselamatan terhadap semua individu yang memasuki pagar terbabit.
Hanya satu pintu pagar kecil dibuka untuk akses orang ramai bermula jam 8.10 pagi hingga laporan ini ditulis.
Terdahulu, tular satu poster mempelawa penyokong Ahli Parlimen Tapah itu hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan tema pakaian berona hitam.
Seorang penyokong yang ingin dikenali Sathia, 29, berkata kebanyakan mereka adalah ahli MIC dari Lembah Klang dan Tapah.
“Kami hadir hanya satu tujuan iaitu untuk beri sokongan moral terhadap Datuk Seri M Saravanan,” katanya.




