KOTA BHARU, 12 OGOS- Kejayaan membangunkan jenama kecantikan kepada perniagaan bernilai jutaan ringgit bukan satu-satunya pencapaian Sharifah Nori Bahar, sebaliknya keupayaannya membuka peluang ekonomi kepada lebih 10,000 wanita di seluruh negara menjadi antara bukti besar sumbangan beliau dalam dunia keusahawanan.
Pada usia 34 tahun, Sharifah Nori berjaya mengembangkan PinkandBelle Sdn. Bhd., syarikat yang diasaskannya pada 2019, menjadi antara jenama kecantikan bumiputera yang semakin dikenali dan dipercayai pengguna di Malaysia.
Lebih daripada sekadar memasarkan produk kecantikan, PinkandBelle berkembang sebagai sebuah platform keusahawanan yang menyediakan ruang kepada wanita untuk menjana pendapatan menerusi peluang sebagai ejen, stokis dan usahawan.
Bagi Sharifah Nori, kejayaan sesebuah perniagaan tidak seharusnya diukur berdasarkan keuntungan semata-mata, tetapi sejauh mana perniagaan itu mampu mencipta peluang dan memberi manfaat kepada orang lain.
Berbekalkan kesungguhan, ilmu serta keyakinan terhadap produk yang dihasilkan, beliau mengembangkan perniagaan sedikit demi sedikit sehingga mencapai nilai jualan berjuta-juta ringgit, sekali gus membuktikan bahawa kejayaan tidak semata-mata bergantung kepada saiz modal permulaan.
Sebaliknya, beliau menjadikan visi, keberanian mengambil risiko dan keupayaan membina pasukan sebagai antara kekuatan utama dalam mengembangkan perniagaan.
Melalui PinkandBelle, beliau turut memberi bimbingan dan motivasi kepada wanita yang ingin menceburi bidang perniagaan, khususnya mereka yang mahu memiliki sumber pendapatan sendiri dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
Pendekatan itu menjadikan kejayaan Sharifah Nori mempunyai dimensi yang lebih luas apabila pertumbuhan syarikatnya turut disusuli dengan pertumbuhan usahawan di bawah rangkaiannya.
Dalam masa sama, beliau tidak mengetepikan aspek tanggungjawab sosial dalam perjalanan keusahawanannya apabila konsisten menyantuni golongan asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz menerusi sumbangan kebajikan serta pembayaran zakat perniagaan setiap tahun yang mencecah jumlah enam angka.
Sumbangan berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha beliau memastikan kejayaan yang diperoleh melalui perniagaan turut dikongsi dengan golongan yang memerlukan.

Kecemerlangan Sharifah Nori dalam industri kecantikan turut mendapat pengiktirafan menerusi beberapa anugerah, termasuk The Most Creative & Innovative Brand Award (2021), The Best Market Development Award (2023), NONA Superwoman Award (2024), Superbrands Malaysia Award (2025) dan Business Excellence in Skin & Beauty Products Award (2025).
Pengiktirafan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai antara usahawan wanita yang berjaya membangunkan jenama, memperluas pasaran dan mengekalkan daya saing dalam industri kecantikan tempatan.
Namun, bagi Sharifah Nori, pencapaian paling bermakna bukan sekadar kejayaan membina jenama sendiri, tetapi apabila perniagaan yang dibangunkannya mampu menjadi pemangkin kepada wanita lain untuk turut berjaya.
Falsafah itu selari dengan semangat keusahawanan Sayyidatina Khadijah Al-Khuwailid, tokoh usahawan wanita Islam yang bukan sahaja berjaya dalam perniagaan, malah menjadikan kekayaan dan kejayaannya sebagai medium untuk membantu ummah.
Justeru, kecemerlangan dalam bidang keusahawanan, kepimpinan memperkasakan ekonomi wanita, sumbangan kepada masyarakat serta impak yang dihasilkan menerusi perniagaan menjadikan Sharifah Nori binti Bahar dilihat amat bertepatan untuk dinobatkan sebagai Ikon Sayyidatina Khadijah Al-Khuwailid (Keusahawanan) Tahun 2026.




