BANGKOK, 11 OGOS ( Agensi) – Suasana dalam sebuah pesawat dari Malaysia ke Bangkok bertukar kecoh apabila seorang lelaki bertindak luar kawalan dengan mundar-mandir di lorong kabin sambil berulang kali menjerit meminta pesawat mendarat.
Keadaan bertambah cemas apabila lelaki yang dikenal pasti sebagai seorang pegawai Tentera Darat Diraja Thailand itu dilaporkan cuba membuka pintu pesawat ketika penerbangan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang.
Rakaman berdurasi kira-kira lima minit yang tular sejak Ahad memaparkan dua kru kabin bergelut menahan lelaki terbabit sebelum berjaya mengawalnya dan memaksanya duduk semula di tempat duduk.
Memetik laporan Bangkok Post, kedua-dua tangan lelaki itu kemudian diikat ke belakang sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh membahayakan penumpang lain.
Bagaimanapun, lelaki terbabit terus menjerit dan berulang kali menyebut perkataan ‘landing’, selain mengeluarkan kata-kata kesat.
Dalam rakaman sama, lelaki berkenaan turut kedengaran bercakap dalam bahasa Thailand secara tidak jelas sebelum beralih kepada bahasa Inggeris.
“No one can choose what they are born to be. This is the best in our lives. We all need to talk. I’m sorry, I’m sorry everybody,” katanya sebelum kembali menjerit ‘landing’ berulang kali.
Menjelang penghujung rakaman, lelaki berkenaan dilihat menangis dan cuba ditenangkan kru kabin, namun kembali bertindak agresif.
Sementara itu, Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Laksamana Muda Surasant Kongsiri, mengesahkan lelaki berkenaan ialah seorang Leftenan yang bertugas di Pejabat Dasar dan Perancangan kementerian berkenaan.
Beliau berkata, pegawai terbabit sedang menjalani rawatan bagi masalah kesihatan mental dan mengalami episod berulang ketika penerbangan berkenaan.
Sebaik pesawat mendarat, lelaki itu dibawa ke Hospital Phramongkutklao di Bangkok untuk pemerhatian dan menerima rawatan lanjut.




