KUALA LUMPUR, 11 OGOS (Berita Harian) – SD Guthrie Bhd merekodkan keuntungan bersih lebih RM1.5 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, meningkat 44 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi kukuh itu didorong peningkatan keuntungan segmen hiliran serta sumbangan berterusan daripada segmen pembangunan industri.
Bagi suku kedua tahun kewangan 2026, keuntungan bersih SD Guthrie meningkat hampir dua kali ganda kepada RM987 juta berbanding RM505 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya disokong prestasi kukuh segmen pembangunan industri.
Segmen pembangunan industri mencatat keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) RM529 juta pada suku berkenaan manakala segmen hiliran melalui SD Guthrie International (SDGI) merekodkan peningkatan PBIT lapan peratus tahun ke tahun kepada RM136 juta.
Prestasi itu membantu mengimbangi penurunan lima peratus PBIT segmen huluan yang sebahagiannya disokong oleh peningkatan harga purata direalisasikan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK), masing-masing kepada RM4,283 dan RM3,436 satu tan.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, hasil kumpulan susut empat peratus kepada RM9.633 bilion berbanding RM9.986 bilion pada tempoh sama tahun lalu manakala PBIT meningkat 31 peratus kepada RM2.120 bilion daripada RM1.622 bilion.
Pengerusi SD Guthrie, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, berkata prestasi itu dicapai meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik hasil pelaksanaan strategi secara berdisiplin pada separuh pertama tahun ini.
“Keupayaan kepimpinan baharu mengekalkan momentum pertumbuhan yang dibina sejak awal tahun akan membolehkan kumpulan menyampaikan prestasi dan nilai yang sewajarnya kepada pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad, berkata prestasi separuh pertama yang kukuh menunjukkan kemajuan transformasi kumpulan ke arah organisasi lebih pelbagai dan bersedia menghadapi masa depan melangkaui perniagaan perladangan tradisional.
Beliau berkata, kumpulan akan terus mengembangkan perniagaan pembangunan industri dan tenaga boleh diperbaharui menerusi kerjasama strategik.
Mengulas prospek tahun kewangan 2026, SD Guthrie menjangkakan bekalan global yang semakin ketat serta permintaan yang berdaya tahan akan menyokong peningkatan harga MSM dalam tempoh terdekat hingga sederhana.
Tekanan dari sudut bekalan dijangka meningkat dengan kemunculan fenomena El Niño pada penghujung tahun manakala permintaan disokong pelaksanaan mandat biodiesel B50 Indonesia serta harga minyak mentah yang kukuh susulan ketegangan geopolitik.
Dalam pada itu, segmen pembangunan industri dijangka terus meningkatkan sumbangannya kepada pendapatan kumpulan manakala segmen tenaga boleh diperbaharui akan terus meletakkan asas bagi pertumbuhan jangka panjang.
SD Guthrie kekal positif terhadap prospek tahun kewangan 2026 berikutan dinamik pasaran yang menggalakkan.




