SUBANG JAYA, 9 OGOS (Berita Harian) – Seorang wanita warga emas sempat melihat proses pengebumian jenazah anaknya, sebelum rebah di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini, dan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang, semalam.
Terdahulu, Allahyarhamah Saripah Nariah Sayed Hanip, 76, hadir ke Masjid As-Salam Puchong untuk menguruskan jenazah anaknya, Syed Salim Syed Abdullah, 56, yang meninggal dunia pada jam 12.57 tengah malam hari sama.
Kejadian dikongsikan ahli keluarga, Shafarhan Kahar, 41, yang memaklumkan ketika itu, ibu mentuanya sedang duduk di atas kerusi roda sebelum tiba-tiba terkulai ketika proses pengebumian berlangsung.
“Mak mentua sedang duduk di atas kerusi roda dan tiba-tiba kepalanya terus terkulai.
“Kebetulan di lokasi, terdapat seorang doktor yang juga kawan arwah abang ipar, dan segera memberikan bantuan,” katanya.
Beliau berkata, bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dilakukan tetapi tiada tindak balas sebelum ambulans tiba dan membawa ibu mentuanya ke Hospital Serdang.
“Mak mentua saya kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 11.39 pagi hari sama.
“Sebelum kejadian itu, dia (ibu mentua) tiada menunjukkan sebarang tanda luar biasa dan masih berbual dengan ahli keluarga serta tetamu yang hadir,” katanya.
Sebelum itu, Shafarhan berkata, Allahyarham Syed Salim dimasukkan ke hospital pada malam 7 Ogos lalu kerana menghidap kanser usus sebelum disahkan meninggal dunia.
“Memang kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini. Tidak disangka dalam satu hari, kami kehilangan abang ipar dan kemudian mak mentua pula meninggal dunia,” katanya.
Jenazah Syed Salim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, manakala jenazah Saripah Nariah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Keramat pada malam sama.
Sementara itu kenalan keluarga, Izzat Johari yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Sejagat), berkata beliau sempat berbual dengan ibu arwah ketika tiba di Puchong selepas dimaklumkan mengenai pemergian Allahyarham Syed Salim.
“Bila tengah uruskan jenazah bersama, saya terus pergi ke Puchong. Sempat berbual, jumpa dengan mak arwah.
“Mak arwah turut meluahkan kesedihan kerana sebelum ini, kawan baik saya yang juga timbalan NGO sudah meninggal dunia. Bapa arwah pula meninggal dunia dua tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu mengejutkan semua yang berada di lokasi kerana tiada siapa menyangka mereka akan berdepan satu lagi kehilangan pada hari sama.




