KUALA LUMPUR, 10 OGOS (Berita Harian) – Kerajaan didakwa belum melunaskan komitmen kewangan berjumlah RM12.5 bilion kepada Lembaga Tabung Haji (TH) selepas Sukuk Urusan Jamaah Sdn Bhd (UJSB) Siri 1 yang matang pada 29 Mei lalu.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata kerajaan sepatutnya melunaskan sepenuhnya jumlah berkenaan sama ada dalam bentuk tunai atau aset setara nilai.
Beliau mendakwa, daripada jumlah itu, hanya RM965 juta dilunaskan dalam bentuk hartanah, manakala baki kira-kira RM11.5 bilion digantikan dengan sukuk baharu yang akan matang dalam tempoh 10 tahun.
“Sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi, saya ingat kerajaan memang membuat peruntukan lebih dari RM1 bilion setahun untuk melunaskan sukuk UJSB ini bila matang pada 29 Mei 2026.
“Oleh itu, sewajarnya perbahasan Parlimen esok (berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji) mendapat penjelasan yang berterus terang daripada kerajaan ke mana wang berbilion yang diperuntukkan selama ini untuk memulihkan Tabung Haji telah pergi?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, penstrukturan kewangan TH yang diluluskan kerajaan pada akhir 2018 bergantung kepada kemampuan dan kepatuhan kerajaan melunaskan komitmen kewangan berkenaan apabila sukuk mencapai tempoh matang.
Menurutnya, menerusi pelan itu, Kerajaan Persekutuan melalui UJSB mengambil alih aset TH yang mengalami kerugian pada harga lebih tinggi daripada nilai sebenar, sebelum menerbitkan dua siri sukuk kepada TH.
Katanya, apabila mencapai tarikh matang pada 2026 dan 2029, kerajaan sepatutnya membayar semula kepada TH sama ada secara tunai atau aset yang sudah dipulihkan nilainya bagi menggantikan sukuk berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu turut menjadi antara tumpuan dalam laporan RCI TH, khususnya mengenai keperluan kerajaan menyediakan peruntukan daripada belanjawan tahunan bagi memastikan komitmen berkenaan dapat dilunaskan.
Pada masa sama, Rafizi mendakwa, hanya RM500 juta setakat ini dibayar kepada TH untuk menebus sukuk UJSB, berdasarkan penemuan RCI.
Katanya, pada 2021 di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN), peruntukan RM1.5 bilion yang diluluskan menerusi Belanjawan 2021 tidak dibayar kepada TH atas alasan dana berkenaan diperlukan bagi pemulihan ekonomi susulan pandemik COVID-19.
“Ketiga-tiga kerajaan (PH, PN dan PH-BN) sudah meluluskan peruntukan bagi tujuan melunaskan sukuk sejak 2019.
“Semasa PH di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 5 April 2019, kerajaan meluluskan peruntukan sekurang-kurangnya RM17.8 bilion bagi menampung kekurangan penebusan sukuk UJSB,” katanya.
Tambah Rafizi, komitmen itu kemudian diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dipercayainya turut terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mendakwa kegagalan melunaskan sepenuhnya komitmen berkenaan boleh menyebabkan TH terus berdepan risiko kecairan aset dan aliran tunai pada masa akan datang.
“Jika kerajaan sekarang dan selepas ini terus menangguhkan komitmen melunaskan sukuk UJSB ke masa akan datang (dengan terus menggantikan satu kertas hutang kepada kertas hutang yang baru), TH akan terus berdepan dengan risiko kecairan aset dan aliran tunai di masa akan datang,” katanya.




