KUALA LUMPUR, 29 JULAI– United Asiapac Energy Berhad melakar satu lagi pencapaian penting apabila melancarkan prospektus sempena cadangan penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities Berhad, yang dijadualkan pada 19 Ogos ini.
Pencapaian tersebut menjadikan United Asiapac Energy Berhad sebagai syarikat Bumiputera kedua yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2026 selepas ELSA Berhad, sekali gus membuktikan peningkatan keupayaan syarikat Bumiputera untuk bersaing dan berkembang dalam pasaran modal negara.
Melalui cadangan penyenaraian itu, saham syarikat akan ditawarkan kepada orang awam pada harga RM0.35 sesaham. Penyenaraian tersebut dijangka meraih dana sebanyak RM48.73 juta, dengan anggaran nilai permodalan pasaran mencecah RM192.5 juta.
Dana yang diperoleh dijangka menyokong pelaksanaan strategi pertumbuhan syarikat serta mengukuhkan kedudukannya dalam industri.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi cadangan penyenaraian tersebut.
Majlis pelancaran prospektus itu turut dihadiri Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai tanda sokongan terhadap kejayaan United Asiapac Energy Berhad dalam mencapai satu lagi mercu tanda penting dalam perjalanan korporatnya.
Sebagai agensi yang menerajui agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera, TERAJU terus komited memperkukuh ekosistem pembangunan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi melalui peningkatan kesediaan korporat, amalan tadbir urus yang baik serta akses kepada pembiayaan. Komitmen ini bertujuan melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera yang mampu melangkah ke pasaran modal, sekali gus meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara secara mampan dan inklusif.




