KUALA LUMPUR, 22 JULAI Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat telekomunikasi susulan dakwaan kebocoran data peribadinya dengan menghantar surat tuntutan (LOD) melalui peguam.
Menerusi hantaran di Threads, beliau memaklumkan laporan turut dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), manakala pasukan peguamnya akan mengendalikan kes itu sehingga selesai.
Khairul Aming mengakui berasa sedih dan bimbang apabila maklumat peribadi termasuk nombor telefon, sejarah pembayaran, langganan dan nombor kad pengenalan didakwa boleh diakses tanpa kebenaran.
Isu itu tercetus selepas seorang pengguna media sosial mendakwa mengetahui butiran bil telefon miliknya, termasuk jumlah tunggakan dan perkhidmatan tambahan yang dilanggan.
Susulan kejadian itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengarahkan MCMC mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan berkenaan kerana dipercayai membabitkan akses tanpa kebenaran terhadap sistem dalaman syarikat telekomunikasi.




