KEMAMAN, 21 Julai – Hubungan strategik antara institusi pendidikan dan industri terus diperkukuh apabila lebih 160 wakil syarikat, agensi serta pemain sektor minyak, gas dan tenaga berhimpun di TVETMARA Kemaman sempena CONNECT@MOGC 2026 – Industry Collaboration Showcase 2026, hari ini.
Program yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Ir. Dr. Mahzan Teh, menjadi platform penting dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama antara TVETMARA dan industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan sebenar sektor berkenaan.
Menerusi program itu, TVETMARA Kemaman turut memperkenalkan keupayaan institusi dalam menyediakan latihan teknikal dan pendidikan berasaskan industri, selain membuka peluang kepada syarikat untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk latihan, projek teknikal, pembangunan kompetensi serta penempatan pekerjaan.
Pendekatan Industry Based Education and Training (IBET) yang diketengahkan menerusi program tersebut dilihat mampu merapatkan jurang antara pembelajaran dan keperluan industri, sekali gus memastikan graduan TVETMARA memiliki kemahiran yang relevan, kompetitif dan bersedia memasuki pasaran pekerjaan.
Program itu turut menjadi medan pertemuan strategik antara institusi pendidikan dan pemain industri bagi memperkukuhkan ekosistem pembangunan bakat negara, sekali gus menyokong usaha MARA dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi permintaan sektor minyak, gas dan tenaga di peringkat nasional serta antarabangsa.




