KUALA LUMPUR, 21 Julai – Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuka permohonan kepada usahawan di bawah Program Promosi Eksport Gate to Global (GTG) untuk menyertai China International Import Expo (CIIE) 2026 yang akan berlangsung pada 5 hingga 10 November 2026 di National Exhibition and Convention Center (NECC), Shanghai, China.
Penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa itu bertujuan memberi peluang kepada usahawan tempatan memperluaskan pasaran eksport, mempromosikan produk ke peringkat global serta menjalinkan jaringan perniagaan dengan pembeli dan rakan strategik dari pelbagai negara.
Usahawan yang berminat dikenakan yuran komitmen sebanyak RM2,000 dan perlu memenuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan oleh MARA. Antaranya, pemohon mestilah merupakan usahawan bimbingan MARA di bawah Program GTG, menjalankan perniagaan dalam kluster makanan dan minuman atau produk kesihatan (wellness), mempunyai kapasiti bagi memenuhi permintaan pasaran eksport dari aspek modal pusingan dan pengeluaran produk, serta memiliki pensijilan Halal, Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP).
Permohonan dibuka sehingga 31 Julai 2026, manakala permohonan boleh dikemukakan melalui borang dalam talian yang disediakan oleh MARA.
MARA memaklumkan bahawa pemilihan peserta adalah tertakluk kepada keputusan pihak agensi dan keputusan tersebut adalah muktamad.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, usahawan boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Usahawan MARA melalui Encik Muhd Fadhly Hamzah di talian 012-6554824 atau Puan Zaihusny Mat Husin di talian 013-3939188.




