KOTA BHARU, 21 JULAI – AZM Rovers FC mengumumkan pelantikan Datuk Wan Imran Wan Omar sebagai Pengerusi Kehormat kelab itu, berkuat kuasa serta-merta, dalam usaha memperkukuhkan pentadbiran dan mempercepatkan pembangunan kelab ke arah yang lebih profesional serta berdaya saing.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh AZM Rovers FC, pelantikan tersebut merupakan satu langkah strategik bagi memperluaskan jaringan kerjasama, memperkukuhkan tadbir urus serta memperkasakan pembangunan kelab untuk muncul sebagai antara pasukan bola sepak yang lebih mantap pada masa hadapan.
Wan Imran yang dikenali sebagai tokoh korporat berpengalaman luas dalam bidang pembinaan, pengurusan projek dan pembangunan infrastruktur negara diyakini mampu membawa dimensi baharu kepada pengurusan AZM Rovers FC.
Pengalaman serta kepakaran beliau dalam sektor korporat dijangka dapat menyumbang pandangan dan nasihat strategik dalam memperkukuhkan hala tuju pembangunan jangka panjang kelab.
Sebagai Pengerusi Kehormat, beliau akan berperanan sebagai penasihat strategik kepada pengurusan AZM Rovers FC selain membantu mengukuhkan hubungan dengan pelbagai pihak berkepentingan serta menyokong agenda pembangunan bola sepak yang dirancang oleh kelab.
AZM Rovers FC turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan sokongan semua pihak serta kepimpinan Wan Imran, kelab itu akan terus berkembang sebagai sebuah organisasi bola sepak yang disegani, di samping menjadi platform melahirkan lebih ramai bakat bola sepak dari Kelantan untuk mengharumkan nama negeri dan negara.
Pelantikan ini mencerminkan komitmen AZM Rovers FC dalam memperkukuhkan struktur organisasi kelab bagi memastikan pembangunan yang mampan selaras dengan aspirasi memajukan arena bola sepak tempatan.




