KUALA LUMPUR, 20 JULAI – Jenama kentang goreng goncang tempatan, Happy Potato, berjaya menembusi empat pasaran antarabangsa dalam tempoh enam bulan sekali gus mencatat perkembangan terpantas sejak penubuhannya tujuh tahun lalu.
Kini, Happy Potato memiliki 126 cawangan di lima negara, termasuk 117 cawangan di Malaysia, tiga di Bangladesh, dua di Indonesia, dua di China dan dua di Kemboja.
Happy Potato memulakan operasi pada 2019 menerusi cawangan pertamanya di Suria Sabah, Kota Kinabalu sebelum berkembang ke Semenanjung Malaysia pada 2023 dan memperluaskan rangkaian francaisnya. Pengembangan antarabangsa bermula di Bangladesh dan Indonesia pada Februari 2026, diikuti China pada Mei serta Kemboja pada Julai.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Happy Potato, Edmund Lim, berkata kejayaan itu hasil persediaan rapi selama beberapa tahun dalam memperkukuh model francais, sistem operasi dan pembangunan jenama sebelum berkembang ke luar negara.
Menurutnya, syarikat memberi tumpuan kepada usaha memastikan pelanggan menikmati pengalaman, kualiti produk dan standard perkhidmatan yang konsisten di setiap cawangan, meskipun beroperasi di negara yang berbeza.
Seiring pengembangan antarabangsa, Happy Potato turut mencatat pertumbuhan pesat di Malaysia dengan penambahan 98 cawangan baharu sepanjang 2024 dan 2025, sekali gus muncul antara rangkaian shaker fries tempatan terbesar di negara ini.
Edmund berkata syarikat menyasarkan memiliki 200 cawangan di Malaysia menjelang 2028, selain mengembangkan jenama itu ke tiga hingga lima lagi negara di Asia.
Bersempena ulang tahun ketujuh jenama itu dan sambutan Hari Kentang Goreng Sedunia, Happy Potato dengan kerjasama McCain Foods menganjurkan promosi Unlimited Free Flow Shaker Fries di Sunway Square Mall, Bandar Sunway serta melancarkan kempen Happy Shake di semua cawangannya di Malaysia sehingga 8 September.
Sementara itu, Pengarah dan Pengasas Bersama Happy Potato, Colleen Phang, berkata walaupun syarikat kini beroperasi di lima negara, komitmen terhadap kualiti produk dan pengalaman pelanggan kekal menjadi keutamaan.
Kempen Happy Shake menawarkan pengalaman kepada pelanggan untuk menggoncang sendiri kentang goreng dengan pilihan serbuk perisa pada harga RM9.90 secara à la carte atau RM5.90 menerusi pembelian kombo.




