KUALA LUMPUR, 6 MEI – ASEAN disaran menubuhkan sebuah ‘war room’ rantaian bekalan di peringkat Sekretariat ASEAN sebagai langkah proaktif menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meruncing.
Pengerusi Penyelidikan dan Advokasi CARI ASEAN, Munir Majid, berkata inisiatif itu penting bagi membantu negara anggota serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meramal gangguan rantaian bekalan, sekali gus memperkukuh keupayaan membuat keputusan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
Katanya, keadaan global ketika ini jauh lebih mencabar berbanding tahun lalu, justeru ASEAN tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan bersifat retorik semata-mata.
“ASEAN perlu mempunyai lebih banyak inisiatif strategik, bukan sekadar kata-kata dan resolusi, tetapi tindakan yang benar-benar mampu menangani realiti semasa,” katanya kepada media pada acara ASEAN Leadership & Partnership Forum 2026 bertajuk “Navigating ASEAN in a New Geopolitical Era: Keeping Centrality, Securing Prosperity, Empowering People” di sini, hari ini.
Hadir sama, Bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Munir, yang juga Presiden Kelab Perniagaan ASEAN, berkata war room yang dicadangkan perlu dilengkapi data komprehensif termasuk peta dunia, peta produk serta maklumat pergerakan rantaian bekalan bagi membolehkan analisis dan simulasi dijalankan secara menyeluruh.
Katanya, pendekatan itu membolehkan ASEAN meneliti corak gangguan terdahulu dan seterusnya meramalkan kemungkinan perkembangan pada masa hadapan.
“Melalui simulasi ini, kita boleh memahami apa yang telah berlaku dan menilai apa yang mungkin berlaku seterusnya.
“Ini akan membantu PKS menentukan lokasi pengeluaran, jenis produk yang perlu dihasilkan serta rakan kerjasama yang sesuai,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Antarabangsa Institut Strategik Asia Pasifik KSI Malaysia berkata, pewujudan war room boleh diperkukuh dengan penglibatan pakar luar, khususnya dalam bidang teori permainan, bagi membantu kerajaan dan pemain industri membuat keputusan lebih tepat dan berasaskan data.
Beliau menegaskan pendekatan responsif semata-mata tidak lagi memadai dalam berdepan gangguan global yang semakin kompleks.
“Kita tidak boleh hanya bertindak selepas sesuatu berlaku. Gangguan rantaian bekalan sedang berlaku sekarang dan kita perlu memahami apa yang akan datang,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya pemimpin ASEAN memberi mandat jelas kepada Sekretariat ASEAN untuk menubuhkannya dengan sokongan kepakaran luar.
“Sekretariat ASEAN mungkin tidak mempunyai keupayaan sepenuhnya untuk melaksanakannya sendiri.
“Justeru, kita perlu memanfaatkan kepakaran luar, khususnya dalam bidang teori permainan,” katanya.
Sementara itu, Munir berkata konflik geopolitik semasa termasuk perang melibatkan Iran dijangka memberi kesan berbeza kepada setiap negara, dengan tahap impak tidak seragam namun berpotensi membawa akibat serius terhadap ekonomi.
Katanya, situasi itu berkemungkinan mencetuskan tekanan terhadap harga serta menjejaskan kestabilan bekalan bagi pelbagai sektor.
“Setiap negara perlu mula memikirkan kemungkinan ini dan bersedia dengan langkah yang sesuai,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan makanan.
Katanya, negara ASEAN perlu mengenal pasti pengeksport makanan bersih dalam kalangan mereka dan merangka mekanisme kerjasama bagi memastikan bekalan mencukupi ketika krisis.
“Ini adalah satu kecemasan. Harga makanan akan meningkat dan bekalan mungkin terjejas. Sektor pertanian juga terkesan akibat gangguan bekalan seperti kekurangan urea dari Asia Barat,” katanya.
Mengimbas pengalaman semasa pandemik COVID-19, Munir berkata ketiadaan kerjasama serantau dalam pembelian bekalan vaksin secara pukal menjadi antara kelemahan utama yang perlu diperbaiki.
“Ketika COVID-19, tiada kerjasama dalam pembelian secara pukal, setiap negara bertindak sendiri. Perkara ini tidak sepatutnya berulang pada masa hadapan,” katanya.
Munir berkata, walaupun ASEAN berdepan kekangan untuk bertindak secara bersama dalam isu segera, blok serantau itu masih mempunyai ruang untuk memperkukuh perancangan jangka sederhana.
Katanya, langkah itu penting bagi mengurangkan pendedahan terhadap kejutan ekonomi global yang semakin tidak menentu.




