KUALA LUMPUR, 29 JUN ( Berita Harian) – RT Pastry Holdings Bhd menyasarkan Pantai Timur sebagai pasaran baharu bagi pengembangan rangkaian outletnya, dengan Kuantan dikenal pasti sebagai lokasi pertama yang akan diterokai bermula tahun hadapan.
Ketua Pegawai Operasi RT Pastry, Tia Yu Hoo, berkata syarikat melihat potensi permintaan yang tinggi di rantau itu berikutan kehadiran rangkaian bakeri berskala besar yang masih terhad.
“Kami melihat terdapat permintaan yang berpotensi di Pantai Timur, di mana tidak banyak rangkaian bakeri besar beroperasi di kawasan itu.
“Disebabkan itu, kami meletakkan keutamaan untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Pantai Timur. Kuantan menjadi destinasi awal pengembangan sebelum syarikat memperluaskan operasi ke lokasi lain di rantau berkenaan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian RT Pastry di Pasaran ACE Bursa Malaysia, di sini hari ini.
Saham syarikat dibuka pada harga 17.5 sen sesaham, iaitu diskaun 0.5 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 18 sen sesaham.
Daripada dana yang diperoleh menerusi IPO, sebanyak RM7.63 juta diperuntukkan bagi pembukaan cawangan baharu, manakala RM8.9 juta digunakan untuk pembelian mesin serta peralatan baharu.
Selain itu, RM3.82 juta akan digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank, manakala baki RM4.13 juta diperuntukkan untuk menampung kos penyenaraian.
Mengulas prospek perniagaan, Yu Hoo berkata syarikat menjangkakan industri bakeri tempatan akan terus berkembang seiring pertambahan bilangan bakeri bebas dan rangkaian bakeri yang memasuki pasaran.
Bagi memanfaatkan pertumbuhan itu, RT Pastry akan memperluaskan saluran pendapatannya menerusi perniagaan borong dan pembuatan peralatan asal (OEM), selain meneruskan pembukaan cawangan baharu di kawasan yang berpotensi.
Yu Hoo berkata, syarikat kini sedang mengadakan perbincangan dengan lebih ramai pemborong dan pelanggan korporat bagi memperluaskan saluran jualannya.
“Produk OEM juga akan dibangunkan mengikut keperluan pelanggan dan akan dibezakan daripada produk yang dijual di outlet RT Pastry bagi memberi nilai tambah kepada pelanggan korporat,” katanya.
Mengulas perancangan jangka panjang, Yu Hoo berkata RT Pastry turut menyasarkan pertumbuhan jualan sekurang-kurangnya 10 peratus setahun.
Beliau berkata, syarikat juga mengekalkan perancangan untuk mengenal pasti lokasi strategik bagi pembinaan kemudahan pembuatan baharu menjelang suku keempat tahun ini.
Mengenai prestasi operasi, Yu Hoo berkata bagi suku pertama tahun kewangan 2026, hasil syarikat terus disokong oleh rangkaian outlet runcit sedia ada yang menyumbang RM12.21 juta atau 96.45 peratus daripada jumlah hasil.
Beliau berkata, syarikat merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM0.7 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM0.41 juta bagi tempoh berkenaan.
Katanya, margin keuntungan selepas cukai yang lebih rendah berbanding tahun kewangan sebelumnya berpunca daripada kadar cukai efektif yang lebih tinggi susulan perbelanjaan yang tidak boleh ditolak cukai. Bagaimanapun, keuntungan operasi teras kekal stabil dengan margin PBT kepada jualan sebanyak 5.63 peratus, hampir setanding 5.05 peratus yang direkodkan pada suku pertama tahun lalu.




