KUALA LUMPUR, 8 JULAI ( Berita Harian) – Planworth Global Factoring Sdn Bhd dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi penyelesaian pembiayaan projek yang lebih fleksibel dan mampan.
Kerjasama strategik itu bertujuan membantu PMKS menangani cabaran perniagaan semasa termasuk peningkatan kos operasi, tekanan aliran tunai, tempoh pembayaran projek yang panjang serta keperluan modal bagi memulakan projek baharu.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan meneroka peluang memperluaskan akses PMKS kepada kemudahan pembiayaan yang mampu menyokong pertumbuhan perniagaan, pelaksanaan projek serta pembangunan perusahaan berasaskan inovasi dan teknologi.
Majlis pemeteraian MoU itu menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Hazani Hassan, menandatangani perjanjian bagi pihak MTDC, manakala Planworth diwakili Pengarah Eksekutifnya, Elaine Lim. Ia disaksikan Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perkhidmatan Korporat Kumpulan MTDC, Mohammad Farish dan Ketua Pegawai Operasi Planworth, Stella Yen.
Sebagai rakan pembiayaan strategik, Planworth akan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pembiayaan kontrak dan modal kerja, pembiayaan invois, kemudahan berkaitan jaminan bank dan bon pelaksanaan projek serta pembiayaan rantaian bekalan.
Planworth adalah sebahagian daripada Grand Columbia Group, sebuah kumpulan antarabangsa yang beroperasi di seluruh rantau Asia Pasifik. Disokong oleh kepakaran luas Kumpulan dalam sektor perbankan, kewangan, insurans, pembangunan hartanah dan pembuatan, dengan operasi di hab utama termasuk Malaysia, Singapura, China dan Papua New Guinea, Planworth berada pada kedudukan yang kukuh untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan yang mampan, responsif dan berskala kepada PMKS di Malaysia
Kerjasama ini bukan sahaja bertujuan menyediakan akses kepada pembiayaan, malah membantu membina kapasiti PMKS untuk berkembang secara mampan, meningkatkan daya saing serta merebut lebih banyak peluang dalam projek sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.
“Kerjasama strategik bersama MTDC merupakan satu langkah penting dalam usaha memperluaskan akses PMKS kepada penyelesaian pembiayaan yang lebih fleksibel dan responsif. Ramai usahawan mempunyai potensi serta peluang perniagaan yang besar, namun masih berdepan cabaran aliran tunai dan kekangan modal kerja untuk melaksanakan projek.
“Melalui gabungan kepakaran dan rangkaian kedua-dua organisasi, kami berharap kerjasama ini dapat membantu lebih banyak PMKS merealisasikan peluang perniagaan, melaksanakan projek dengan lebih yakin serta memperkukuh daya saing mereka.
“Pada masa yang sama, kami percaya inisiatif ini akan menyumbang kepada pembangunan ekosistem PMKS yang lebih kukuh dan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan,” kata Lim.




