KUALA LUMPUR, 25 Jun – Penganjuran PERAK Gen Showcase 2026 x Evas Food Fest di Medan MARA, Kuala Lumpur menjadi medan terbaik bagi membantu usahawan Negeri Perak memperluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka ke ibu negara.
Program anjuran MARA Negeri Perak itu menghimpunkan usahawan daripada pelbagai sektor dengan matlamat meningkatkan promosi produk tempatan, mengukuhkan jaringan perniagaan serta membuka lebih banyak peluang pemasaran kepada usahawan Bumiputera.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang turut melawat reruai pameran dan beramah mesra bersama para usahawan yang menyertai program tersebut.
Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memperkasa sektor keusahawanan serta menyokong usaha membawa produk tempatan menembusi pasaran yang lebih luas.
Bertemakan “Perak Merentasi Generasi”, program yang berlangsung dari 24 hingga 27 Jun itu melibatkan penyertaan 75 usahawan merangkumi sektor makanan dan minuman, gaya hidup, pelancongan serta industri kreatif.
Selain mempromosikan produk dan perkhidmatan, penganjuran tersebut turut memberi peluang kepada usahawan memperkukuh jenama, membina rangkaian perniagaan serta menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, pemain industri dan sektor swasta.
Sempena sambutan ulang tahun ke-60 MARA pada 2026, PERAK Gen Showcase 2026 turut mencerminkan usaha berterusan agensi itu dalam memperkasakan usahawan Bumiputera melalui penyediaan platform pemasaran yang lebih meluas, sekali gus meningkatkan daya saing mereka di peringkat nasional.
Penganjuran program itu juga diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing yang mampu mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.




