PETALING JAYA, 15 MEI (Berita Harian) – MBSB Bank Bhd melancarkan SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF), satu inisiatif pembiayaan strategik bagi menyediakan sokongan modal kerja kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang berdaya maju.
Langkah itu sejajar dengan dana RM5 bilion yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu perniagaan mengurus gangguan operasi dan tekanan aliran tunai susulan konflik geopolitik di Asia Barat.
Dalam satu kenyataan MBSB berkata, kemudahan SME SRF itu disasarkan kepada PKS yang terjejas secara kewangan akibat gangguan perdagangan dan rantaian bekalan sejak Mac 2026.
Menerusi pembiayaan itu, MBSB Bank menyasarkan untuk menyediakan kecairan mencukupi bagi memastikan perniagaan terus beroperasi dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi global
Ketua Pegawai Komersial Perbankan Kumpulan MBSB Berhad, Noor Mohamed Amin Mohamed, berkata PKS merupakan tulang belakang ekonomi negara namun paling terdedah kepada perubahan geopolitik global.
“Proses penilaian kredit turut dipermudahkan bagi memastikan PKS yang layak menerima bantuan kewangan dengan lebih pantas.
“Menerusi kemudahan itu, PKS boleh memohon pembiayaan sehingga RM750,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun, pada kadar maksimum 3.75 peratus setahun termasuk fi jaminan,” katanya.
Pembiayaan tersebut turut disokong jaminan sehingga 80 peratus oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), khususnya bagi PKS tanpa cagaran mencukupi.
Kemudahan itu hanya untuk tujuan modal kerja dan tidak meliputi pembiayaan semula kemudahan sedia ada.
Syarat kelayakan menetapkan bahawa pemohon mestilah PKS berdaya maju mengikut definisi SME Corporation Malaysia dengan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan saham dimiliki rakyat Malaysia.




