KOTA BHARU, 2 JULAI ( Berita Harian) – Inspirasi daripada kesukaran membawa anak saudara menaiki motosikal mendorong Nik Muhamad Khairi Nik Sim, 32, dari Ayer Lanas, Kelantan, untuk mencipta dan memasarkan produk kerusi keselamatan bayi yang kini terjual lebih 80,000 unit di pasaran.
Mengimbas kembali, idea tercetus ketika beliau menghadapi kesukaran untuk memastikan anak saudara duduk dengan selesa antara raga dan kusyen tempat duduk motosikal.
“Waktu tu, saya alas bantal supaya dia duduk lebih selesa.
“Daripada situ saya terfikir, kenapa tak buat satu produk khas yang boleh dipasarkan dan pada masa sama menjana pendapatan?” katanya ketika dihubungi BH Online, baru-baru ini.
Memulakan usaha ini pada Januari 2020, Nik Muhamad Khairi berkata produk awalnya menggunakan rekaan berwarna kartun yang tampak menarik tetapi mengalami masalah apabila kainnya basah dan lambat kering selepas terkena hujan.
Kini, beliau menggunakan material polivinil klorida (PVC) kulit dan kayu jati serta kayu hutan Malaysia yang lebih tahan lasak.
“Kayu yang dipilih tidak terlalu keras supaya tidak mudah pecah, dengan bahagian dalamnya dilengkapi span berkualiti yang mengekalkan bentuknya walaupun selepas digunakan,” katanya.
Harga mampu milik
Kerusi keselamatan bayi ini dijual pada harga RM15 seunit, dan kadangkala ditawarkan dengan harga promosi serendah RM12 hingga RM13 menerusi platform TikTok.
Daripada segi keselamatan, Khairi menegaskan produk ini hanya sesuai untuk kegunaan di kawasan kampung, misalnya ketika ingin membeli sarapan.
“Untuk perjalanan jauh atau di lebuhraya, produk ini tidak disarankan. Tapi kalau setakat bawak anak di kampung, ia memang praktikal,” katanya.
Mendapat maklum balas positif dengan 4.99 peratus ulasan memberangsangkan, pelanggan memuji ketahanan produk yang tidak mudah basah serta kayu berkualiti tinggi yang digunakan.
“Kini, produk kami bukan hanya dijual di Malaysia tetapi menembusi lima negara melalui platform Shopee antarabangsa termasuk Singapura, Taiwan, Laos, Kemboja, dan Chile,” ujar Nik Muhamad Khairi.

Mula dengan usaha kecil
Pada awal pengeluaran, Nik Muhamad Khairi menghadapi kesukaran kerana kekurangan peralatan.
Selain kayu pertama yang digunakan diambil daripada tong sampah, beliau juga hanya menggunakan gergaji tangan pada masa itu, dan mampu menghasilkan lima unit kerusi sehari untuk dijual di Shopee.
Namun, hasil kerja keras, jumlah jualan meningkat kepada 50 unit sehari, kemudian kepada 100 dan kini mencapai sehingga 1,000 unit sehari.
“TikTok menjadi platform jualan paling laris, dengan bantuan 18,000 affiliate berdaftar serta panduan jualan daripada ibu pejabat.
“Kami turut melakukan siaran langsung di TikTok untuk menarik lebih ramai pelanggan,” jelasnya.
Kini, beliau menggaji seramai 16 pekerja yang terbabit dalam pelbagai proses penghasilan produk seperti memotong kayu, memasang paku, meletakkan span, dan membalut kulit.
“Setiap pekerja diberi bayaran mingguan. Sebagai contoh, pekerja yang membalut kerusi akan menerima bayaran RM0.50 untuk setiap unit yang dibalut, dan seorang pekerja boleh membalut sehingga 200 unit sehari,” katanya.
Pelan masa hadapan
Khairi juga sedang merancang untuk menambah baik produk sedia ada dengan menambah ciri sandaran belakang dan tali pinggang keselamatan untuk mengelakkan bayi jatuh ketika dibawa.
Selain itu, beliau merancang untuk mengeluarkan produk berasaskan kayu lain seperti papan pemotong dan tempat menyimpan kunci, memanfaatkan lebihan stok kayu yang ada.
Beliau optimis untuk mengembangkan perniagaannya ke lebih banyak negara dengan sasaran menembusi 20 negara pada 2025.
“Saya berharap produk ini terus berkembang maju dan dapat dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya.
Ikuti akaun TikTok CEO KERUSI BABY untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kerusi keselamatan bayi.




