KOTA BHARU, 21 MEI (Berita Harian) – Mayat seorang lelaki ditemukan dengan kesan luka di leher akibat tikaman di sebuah rumah di Jalan Masjid Baung Bayam, di sini.
Mangsa berusia 28 tahun ditemukan oleh ahli keluarganya dalam bilik mandi kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri, berkata turut ditemui sebilah pisau di tangan mangsa.
“Saksi yang juga ibu saudara mangsa berkata dia pergi ke bilik mandi lalu melihat darah di atas lantai dan ternampak si mati dalam keadaan berdarah dengan pisau di tangannya serta kesan luka di leher.
“Terdapat dua kesan tikaman di dagu, satu di leher serta satu tikaman kecil di bahagian perut si mati.
Mohd Azmir berkata, mangsa yang bekerja di Pasir Gudang, Johor baru pulang ke kampung halaman pada 16 Mei lalu.
Katanya, tiada sebarang kesan pergelutan dan unsur jenayah di tempat kejadian dan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari semalam oleh pegawai perubatan yang bertugas.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.




