KUANTAN. 18 OGOS ( Berita Harian) – Tiga lelaki yang merompak kedai emas di Sky Avenue, Genting Highlands, Bentong semalam melarikan 81 barang kemas dengan berat keseluruhan 2.5 kilogram dianggarkan bernilai RM1.74 juta.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob, berkata perompak berkenaan melarikan diri menggunakan sebuah BMW yang didaftarkan atas nama seorang lelaki di Ampang, Selangor.
“Siasatan awal mendapati kejadian jam 11.39 pagi semalam membabitkan tiga suspek lelaki yang memakai penutup muka, topi dan jaket.
“Ketiga-tiga suspek dipercayai memasuki premis dengan bersenjatakan kapak dan kuku kambing.
“Suspek mengumpil dan memecahkan cermin pameran barang kemas sebelum mengambil lima bekas barang kemas yang mengandungi 81 barang kemas pelbagai jenis dengan berat keseluruhan 2.5 kilogram bernilai RM1,747,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azry Akmar berkata, kejadian itu dipercayai berlaku dalam tempoh lebih kurang dua minit sebelum ketiga-tiga suspek keluar dari premis jam 11.41 pagi.
Ketika kejadian dua pekerja berada dalam premis iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan manakala seorang lagi pekerja perempuan keluar untuk berehat.
“Tiada pelanggan dalam premis ketika kejadian dan tiada pengawal keselamatan ditugaskan di premis itu serta tiada kecederaan dilaporkan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh hubungi Inspektor Nurul Aqilah Azmi di talian 011-31759522 atau balai polis berhampiran,” katanya.




