KUALA LUMPUR, 4 OGOS (Berita Harian) – Federal Express Corporation (FedEx) memperkukuh hubungan perdagangan Malaysia dengan Australia menerusi pengenalan perkhidmatan penerbangan kargo tanpa henti baharu antara hab Asia Pasifik di Guangzhou, China dan Sydney, Australia.
Perkhidmatan baharu itu yang menggunakan pesawat kargo Boeing 777 beroperasi lima kali seminggu itu dijangka mempercepatkan masa penghantaran sehingga sehari bagi beberapa jenis penghantaran dari pasaran utama Asia, termasuk Malaysia ke Australia.
Laluan baharu itu membolehkan penghantaran tertentu dari Malaysia dan pasaran lain seperti China Selatan, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Thailand serta Filipina tiba di Australia dalam tempoh seawal dua hari bekerja.
Pengarah Urusan FedEx Malaysia, Woon Tien Long, berkata peningkatan hubungan perdagangan antara Malaysia dan Australia menyaksikan permintaan lebih tinggi terhadap penghantaran barangan bernilai tinggi dan sensitif masa.
Beliau berkata, perubahan corak perdagangan itu memerlukan keupayaan logistik yang lebih pantas serta boleh dipercayai, bukan hanya bergantung kepada kapasiti semata-mata.
“Australia sudah menjadi rakan dagang penting kepada Malaysia, namun sifat perdagangan antara kedua-dua negara kini berubah apabila lebih banyak barangan bernilai tinggi dan sensitif masa bergerak antara kedua-dua pasaran.
“Dengan terus memperkukuh rangkaian di rantau ini, FedEx menyediakan infrastruktur yang diperlukan perniagaan Malaysia untuk meneroka peluang di Australia dan seluruh rantau Asia Pasifik dengan lebih yakin,” katanya dalam satu kenyataan.
Sambungan baharu ini dijangka memberi manfaat kepada sektor utama Malaysia seperti elektronik, pembuatan, penjagaan kesihatan dan e-dagang yang bergantung kepada perkhidmatan logistik rentas sempadan yang pantas serta cekap.
Perkhidmatan baharu ini turut membantu perniagaan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan melalui masa pemasaran yang lebih singkat, mengurangkan kos penyimpanan inventori selain meningkatkan kapasiti bagi penghantaran kargo berat dan barangan bernilai tinggi.
Sementara itu, FedEx berkata perdagangan intra-Asia mencatatkan peningkatan hasil dua angka tahun ke tahun pada 2025, sekali gus menunjukkan rantau itu kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi global.
Menurutnya, perubahan rantaian bekalan syarikat ke arah model lebih pantas, berasaskan serantau dan berdaya tahan menjadikan hubungan udara yang lancar antara negara Asia semakin penting.
Perkhidmatan Guangzhou-Sydney itu merupakan sebahagian daripada pelaburan berterusan FedEx dalam memperkukuh hubungan perdagangan serantau, termasuk penerbangan kargo terus Guangzhou-Pulau Pinang, penambahan penerbangan kargo mingguan antara Guangzhou dan Bangkok serta sambungan keluar yang dipertingkatkan dari Hanoi ke Korea Selatan.




