KUALA LUMPUR, 9 MEI (Berita Harian) – Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), Ida Riswana Idris menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2026 pada majlis Bisnes Sinar Awards (BiSA Awards) 2026.
Pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan serta peranan besar beliau dalam membangunkan Andalusia sehingga menjadi antara syarikat pengendali umrah, haji dan pelancongan Islamik yang dipercayai di negara ini.
Andalusia menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, anugerah berkenaan turut mencerminkan legasi kepimpinan yang dibina berasaskan amanah, integriti serta komitmen tinggi dalam memperkukuh industri pelancongan Islamik tempatan.
Menurut kenyataan itu, di bawah kepimpinan Ida Riswana, syarikat bukan sahaja berkembang sebagai organisasi perniagaan, malah berjaya membina keyakinan masyarakat terhadap pengurusan perjalanan ibadah yang lebih tersusun dan diyakini.
“Beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh tadbir urus syarikat, memelihara kepercayaan pelanggan serta memastikan setiap perkembangan syarikat bergerak berlandaskan profesionalisme dan tanggungjawab.
“Pengiktirafan ini juga membuktikan kepimpinan berteraskan keikhlasan, kesabaran dan visi jangka panjang mampu memberi impak besar kepada organisasi serta industri secara keseluruhan,” kata Andalusia
BiSA Awards diwujudkan sebagai platform menghargai pencapaian usahawan dan pemain industri selain mengukuhkan jaringan komuniti perniagaan di Malaysia.
Andalusia turut berharap Ida Riswana terus diberikan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk meneruskan sumbangan kepada organisasi, industri dan ummah.




