TANJONG KARANG, 16 OGOS — Seramai 13 usahawan wanita di Parlimen Tanjong Karang menerima pembiayaan dan geran MARA berjumlah keseluruhan RM550,000, dalam usaha memperkukuh perniagaan serta meningkatkan kapasiti usahawan wanita di kawasan berkenaan.
Penyerahan mock cheque disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara dan Ahli Majlis MARA, Senator Datuk Rosni Sohar, pada Program Pemerkasaan Wanita & Komuniti MARA 2026 Parlimen Tanjong Karang yang berlangsung di Dewan Dato’ Hormat MPKS, di sini.
Program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 450 peserta terdiri daripada usahawan wanita dan komuniti setempat.
Turut hadir Pengarah MARA Negeri Selangor, Mohd Halmishahril Ahmad Jamir; Pengerusi JPKKP Parlimen Tanjong Karang, Datuk Haji Sulaiman Haji Abdul Razak; Pengerusi Kelab Skuad Sehati, Datuk Halimaton Saadiah Bohan serta Pengerusi Kelab Skuad Sehati Parlimen Tanjong Karang, Nor Azizah Ahmad.
Selain bantuan yang disalurkan kepada usahawan sedia ada, program tersebut turut membuka ruang kepada bakal usahawan mendapatkan maklumat dan akses kepada kemudahan pembiayaan serta geran MARA.
Hasil program, seramai 12 prospek usahawan baharu menyatakan minat untuk memohon kemudahan MARA dengan jumlah anggaran keseluruhan RM230,000.
Daripada jumlah itu, enam prospek berminat memohon pembiayaan PUTRA dengan anggaran RM60,000, manakala dua prospek masing-masing berminat memohon pembiayaan SPEDNANO bernilai kira-kira RM20,000 dan CERT berjumlah RM120,000.
Dua lagi prospek pula menyatakan minat untuk memohon Geran Pensijilan Halal dengan anggaran nilai RM30,000.
Perkembangan itu menunjukkan program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan sedia ada menerusi bantuan kewangan, malah berupaya mencetuskan minat komuniti setempat untuk menceburi bidang keusahawanan.
Sepanjang program, peserta turut mengikuti pelbagai sesi perkongsian ilmu meliputi Kemudahan Keusahawanan MARA, transformasi digital, kepimpinan dan motivasi keusahawanan, penampilan profesional, e-Invois serta perkongsian daripada DrVET.
Lebih sembilan reruai agensi dan usahawan turut dibuka bagi memberi peluang kepada peserta mendapatkan maklumat berkaitan perniagaan, pembiayaan, pelaburan, latihan serta perkhidmatan keusahawanan.
Antara pengisian lain ialah pertandingan gubahan dan masakan, pertandingan dekorasi kek, perkhidmatan gunting rambut percuma serta penggantian minyak hitam motosikal secara percuma oleh GIATMARA yang ditaja MARA Negeri Selangor.
Dalam program sama, turut disampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada 50 pelajar Tingkatan Lima di Parlimen Tanjong Karang.
Program Pemerkasaan Wanita & Komuniti MARA 2026 dilihat menjadi platform penting dalam memperluas akses komuniti kepada kemudahan keusahawanan, di samping memperkasa wanita untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan potensi ekonomi setempat.




