PETALING JAYA, 18 JUN – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan membentangkan cadangan bajet berjumlah RM257 juta bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti dan Rancangan Perniagaan 2027 pada Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa (MAPA) Ke-40 yang dijadual berlangsung pada 27 Jun ini.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, cadangan bajet tersebut penting dalam usaha memperkukuh agenda koperasi negara serta mempertingkat kedudukan Angkasa di peringkat nasional dan antarabangsa.
Katanya, pelaksanaan beberapa projek strategik melalui bajet berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pengembangan sektor koperasi, termasuk di peringkat ASEAN dan global.
“Ini penting untuk memantapkan kedudukan Angkasa dan koperasi pada masa depan. Projek-projek yang akan dijalankan merupakan stepping stone untuk memenuhi tuntutan pasaran di Malaysia, rantau ASEAN dan peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang media MAPA Ke-40 2026 di sini, semalam.
Beliau berkata MAPA Ke-40 dijangka menghimpunkan lebih 5,000 wakil koperasi seluruh negara dan akan turut membentangkan prestasi kewangan serta operasi organisasi bagi tahun lalu, selain meneliti rancangan perniagaan dan bajet tahun kewangan 2027.
Katanya, pembentangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Angkasa dalam memastikan setiap program dan inisiatif bukan sahaja memenuhi keperluan semasa anggota, malah menyokong pertumbuhan serta kemampanan gerakan koperasi.
Menurut Abdul Fattah, sebanyak 33 usul telah diterima untuk dibahaskan pada mesyuarat berkenaan, meliputi hala tuju Angkasa, pembangunan gerakan koperasi serta isu-isu berkaitan kepentingan sektor tersebut.
Antara cadangan yang dijangka mendapat perhatian ialah usaha memperkukuh peranan koperasi dalam proses penggubalan dasar negara termasuk cadangan mewujudkan wakil koperasi dalam Dewan Negara.
“Gerakan koperasi mempunyai 7.3 juta ahli di seluruh negara dan merupakan antara kelompok terbesar dalam ekonomi rakyat. Justeru, suara koperasi perlu diberikan ruang di peringkat pembuat dasar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa perwakilan dijangka mencadangkan agar kerajaan meningkatkan peruntukan pembangunan sektor koperasi kepada sekurang-kurangnya RM500 juta bagi mempercepat pembangunan sektor berkenaan, khususnya dalam bidang peruncitan, keterjaminan makanan dan pendigitalan.
Dalam pada itu, dua jawatan Naib Presiden Angkasa akan dipertandingkan pada mesyuarat kali ini susulan tamat tempoh perkhidmatan penyandang sedia ada, Datuk Che Mohd Shukri Che Isa dan Datuk Ibrahim Abdullah yang turut menawarkan diri untuk dipilih semula.
Mereka akan dicabar oleh dua calon baharu iaitu Datuk Mohd Saat Ismail dan Haji Zaharuddin Alias.



