KUALA LUMPUR, 15 JUN – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menganjurkan Sesi Libat Urus Rang Undang-Undang Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) pada Isnin bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memperkukuh ekosistem hak cipta negara.
Sesi tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MyIPO, Razhuan Hussin, yang menegaskan kepentingan menyesuaikan kerangka perundangan hak cipta negara dengan perkembangan semasa, khususnya dalam era teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Razhuan berkata, perubahan landskap teknologi serta pertumbuhan ekonomi digital menuntut sistem perundangan hak cipta yang lebih dinamik, relevan dan responsif bagi melindungi kepentingan pencipta, industri kreatif serta pemegang hak harta intelek.
“Kerangka perundangan yang kukuh dan progresif amat penting bagi memastikan sistem hak cipta negara terus berdaya tahan serta mampu menangani cabaran baharu yang muncul seiring perkembangan teknologi dan inovasi,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa usaha memperkukuh Akta Hak Cipta 1987 bukan sahaja bertujuan melindungi karya kreatif, malah memperkasakan kedudukan Malaysia dalam landskap harta intelek global yang semakin kompetitif.
Sesi libat urus tersebut menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan cadangan pindaan akta serta berkongsi pandangan berhubung isu-isu semasa yang memberi kesan kepada sektor kreatif dan harta intelek negara.
Melalui sesi itu, MyIPO menzahirkan komitmennya untuk memastikan cadangan pindaan Akta Hak Cipta 1987 kekal relevan, progresif dan selaras dengan keperluan semasa industri kreatif, pencipta serta perkembangan teknologi masa hadapan.
Usaha berterusan itu dilihat penting dalam mewujudkan persekitaran harta intelek yang lebih kondusif, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti di Malaysia.




