KUALA LUMPUR, 11JUN- SME Bank memperkasa hampir 1,000 usahawan asnaf di seluruh negara apabila mereka berjaya menjana pendapatan kira-kira RM40 juta serta mewujudkan 410 peluang pekerjaan menerusi program iTEKAD ISHRAF yang dilaksanakan pada 2020.
Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, program yang dilaksanakan di bawah rangka kerja kewangan sosial iTEKAD Bank Negara Malaysia (BNM) itu membuktikan peranan kewangan sosial Islam dalam meningkatkan keupayaan keusahawanan serta taraf sosioekonomi golongan asnaf.
Katanya, pencapaian program berkenaan menunjukkan pendekatan yang menggabungkan modal permulaan, latihan pembangunan kapasiti dan akses pasaran mampu memberi impak ekonomi yang berpanjangan kepada peserta.
“Pencapaian program iTEKAD ISHRAF sejak 2020 membuktikan bagaimana kewangan sosial Islam mampu mewujudkan impak yang bermakna dan berkekalan melalui pengukuhan keupayaan keusahawanan, peningkatan pendapatan serta sokongan terhadap pertumbuhan perniagaan dalam kalangan golongan asnaf dan komuniti yang kurang mendapat perhatian.
“Selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI, kami kekal komited memajukan keusahawanan inklusif dan pembangunan sosioekonomi mampan menerusi pendekatan bersepadu yang menggabungkan modal permulaan, pembangunan kapasiti melalui latihan berstruktur serta peluang akses pasaran,” katanya pada Majlis Graduasi SME Bank iTEKAD ISHRAF 4.0 di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin.
Samad Majid menambah, bagi tempoh 2025 hingga 2026, program SME Bank iTEKAD ISHRAF 4.0 menyokong kira-kira 420 usahawan asnaf di seluruh negara dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.
“Jumlah suntikan modal perniagaan yang disalurkan menerusi inisiatif SME Bank iTEKAD ISHRAF sejak 2020 adalah kira-kira RM30 juta, manakala bagi tahun ini peruntukannya berjumlah sekitar RM9 juta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, SME Bank bercadang meneruskan program itu dengan bukan hanya kepada pembangunan usahawan, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan.
Pada majlis kali ini, seramai 14 peserta terbaik mewakili setiap negeri menerima pengiktirafan atas pencapaian perniagaan masing-masing termasuk dari aspek pertumbuhan jualan, pewujudan peluang pekerjaan, penggunaan teknologi dan pengembangan perniagaan.
Program iTEKAD ISHRAF bermula pada 2020 sebagai projek perintis melibatkan 20 usahawan asnaf dengan dana zakat sebanyak RM250,000.
Sepanjang tempoh 2021 hingga 2022, program itu diperluaskan kepada hampir 80 peserta dengan peruntukan RM1.07 juta menerusi kerjasama pelbagai rakan strategik.
Bagi tempoh 2023 hingga 2024, program iTEKAD ISHRAF 3.0 diperluaskan ke seluruh negara dan memberi manfaat kepada 400 usahawan di 14 negeri menerusi peruntukan RM5.6 juta hasil geran padanan iTEKAD BNM serta sumbangan rakan strategik.
Sementara itu, bagi tempoh 2025 hingga 2026, iTEKAD ISHRAF 4.0 membantu kira-kira 420 usahawan asnaf di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM9 juta yang merangkumi geran padanan BNM dan sumbangan institusi strategik termasuk Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), MBSB Bank, Bank Islam Malaysia Bhd dan Bursa Malaysia Bhd.
Dalam perkembangan berkaitan, SME Bank turut memperkenalkan inisiatif ISHRAF (+) Plus dengan kerjasama Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) bagi meningkatkan kesiapsiagaan pasaran, daya saing serta kelestarian perniagaan peserta melalui bimbingan dan sokongan pembangunan perniagaan yang lebih tersusun.
Pada masa sama, SME Bank terus memperkukuh ekosistem keusahawanan halal negara menerusi penyelesaian pembiayaan dan program pembangunan kapasiti bagi menyokong pertumbuhan perusahaan tempatan serta kesiapsiagaan eksport.
Sehingga April 2026, portfolio pembiayaan berkaitan halal SME Bank melebihi RM2 bilion atau lebih 20 peratus daripada keseluruhan aset pembiayaannya.




