KUALA LUMPUR, 8 JUN – Nik Sazali Nik Hussin dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan baharu SIRIM Berhad berkuat kuasa serta-merta.
Nik Sazali Nik Hussin sebelum ini menjalankan tugas sebagai Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, berkuat kuasa Ogos 2025.
Sebelum menyandang jawatan berkenaan, Nik Sazali turut berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Academy Sdn Bhd sejak Mac 2023, dengan menerajui pelbagai inisiatif transformasi dan pertumbuhan yang mengukuhkan kedudukan organisasi itu sebagai penyedia utama perkhidmatan latihan, perundingan dan pembangunan keupayaan.
Menurut SIRIM, pelantikan itu mencerminkan komitmen berterusan organisasi berkenaan untuk memperkukuh kepimpinan yang berasaskan pengalaman institusi, kepakaran teknikal serta pemahaman mendalam mengenai peranan SIRIM dalam ekosistem perindustrian negara.
Nik Sazali membawa hampir tiga dekad pengalaman kepimpinan merangkumi sektor perbankan komersial, pendidikan tinggi, perundingan pengurusan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selain memiliki pengetahuan luas mengenai operasi dan hala tuju strategik SIRIM.
Beliau menggantikan Ahmad Sabirin Arshad yang kini menerajui Boustead Holdings Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
SIRIM merupakan organisasi penyelidikan dan teknologi perindustrian milik penuh kerajaan yang berperanan memacu pembangunan teknologi, inovasi, standard dan kualiti bagi meningkatkan daya saing industri negara.




