PULAU PINANG, 1 JUN (Bernama ) – Al-Meswak Mu’min Sdn Bhd menyasarkan untuk memperkukuh kedudukannya dalam pasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) tempatan menerusi kilang baharu bernilai RM32 juta di sini yang dijangka beroperasi sepenuhnya tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Zaihal Hazri Abdul Halim berkata, kilang itu dibangunkan di tanah seluas 2.02 hektar dan daripada keseluruhan kawasan itu, kira-kira 1.21 hektar sudah dibangunkan untuk fasa pertama yang menempatkan kemudahan pengeluaran produk penjagaan mulut, penjagaan diri serta produk penjagaan rumah.
“Keseluruhan pelaburan bagi kilang ini adalah RM32 juta termasuk bangunan dan mesin, tidak termasuk tanah.
“Kami memilih lokasi ini kerana ia berdekatan dengan komuniti setempat termasuk Kepala Batas, Tasek Gelugor dan kawasan berhampiran di Kedah, sekali gus memudahkan syarikat mendapatkan tenaga kerja tempatan tanpa terlalu bergantung pada pekerja asing,” katanya kepada Bernama.
Zaihal Azri berkata, kilang baharu itu dijadual dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib pada 18 Jun ini.
Al-Meswak Mu’min ialah syarikat 100 peratus milik Muslim yang terkenal dengan produk ubat gigi dan penjagaan diri jenama Mu’min.
katanya, pemilihan kawasan itu juga dibuat kerana tanah berkenaan sudah diwartakan sebagai tanah industri dan kilang baharu itu mempunyai lapan barisan pengeluaran, namun operasi masih belum mencapai kapasiti penuh.
“Dengan kapasiti yang ada sekarang, kami bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pengeluaran jenama sendiri, malah turut mempunyai ruang untuk menerima tempahan pengilangan kontrak atau OEM daripada syarikat lain.
“Setakat ini, sudah ada dua atau tiga syarikat yang memberikan maklum balas positif untuk membuat OEM dengan kami kerana lokasi kilang ini lebih dekat dengan mereka,” katanya.
Zaihal Hazri berkata, pasaran utama syarikat ketika ini masih tertumpu kepada pasaran tempatan, dengan jenama Mu’min menguasai kira-kira lima peratus pasaran FMCG di Malaysia.
Beliau berkata, syarikat turut berhasrat mengaktifkan semula pasaran eksport yang terjejas susulan pandemik COVID-19, termasuk ke China, Asia Barat, Turkiye dan Kemboja.
Dalam tempoh lima tahun akan datang katanya, Al-Meswak Mu’min berhasrat muncul sebagai pengeluar produk kepenggunaan Muslim terbesar di Malaysia, dengan rangkaian produk yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata, selain produk penjagaan mulut dan penjagaan diri, syarikat kini memasuki segmen baharu iaitu produk penjagaan rumah seperti detergen, pencuci lantai dan pencuci pinggan.
“Kami mahu pengguna mempunyai lebih banyak pilihan produk keluaran Malaysia yang berkualiti, selain berpotensi menggantikan produk yang selama ini dikeluarkan oleh syarikat luar negara,” katanya.




