BUKIT MERTAJAM, 26 MEI (Berita Harian) – Kerajaan sedang mengambil tindakan susulan dengan menyusun dan memperbaiki langkah pemulihan bagi membantu rakyat yang berdepan kehilangan pekerjaan dalam tempoh satu ke dua minggu lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu sudah pun dibawa ke perhatian mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk perbincangan.
Katanya, kerajaan akan menyediakan pekerjaan alternatif memandangkan terdapat banyak peluang baharu terutamanya bagi anak muda.
“Ya kita dah bawa suara mereka (rakyat yang kehilangan pekerjaan) ke MTEN dan dalam tempoh seminggu dua, saya ambil langkah-langkah memperbaiki dan menyediakan pekerjaan alternatif.
“Hal ini, sebab ada peluang pekerjaan baharu yang kita harus salurkan supaya ada sinergi di antara pelaburan baharu yang masuk terutama di Pantai Barat, di Perak, Pulau Pinang, Kulim Hi Tech (Kedah), Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Itu tumpuan dan sekarang ada perkembangan baharu juga di Sarawak. Jadi dalam tempoh satu ke dua minggu ini akan ada satu perkara lain untuk memulihkan dan menyediakan beberapa peluang pekerjaan baharu, terutama bagi anak-anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengenai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 kes pada Mac.
Menurut Akmal Nasrullah, perkara terbabit dibentangkan menerusi taklimat mengenai krisis bekalan global selepas mesyuarat MTEN.
Jelas Anwar, peluang pekerjaan baharu kini banyak tertumpu kepada bidang teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI).
“Oleh itu, kalau ada keperluan (dalam dua bidang ini), kita berikan latihan khas untuk membolehkan anak-anak ini masuk ke jurusan bidang pekerjaan itu,” katanya.
Bagaimanapun menurut Anwar, situasi kehilangan pekerjaan itu masih belum di tahap membimbangkan, namun kerajaan tetap akan menanganinya supaya tidak mendatangkan kerisauan kepada rakyat.




