KUALA LUMPUR, 15 Mei (Berita Harian) – Perniagaan di Malaysia dilihat masih mampu bertahan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi semasa apabila bank-bank tempatan belum menerima banyak permohonan bantuan kewangan daripada syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Ghaffour berkata, hanya 0.09 peratus daripada keseluruhan pinjaman bank membabitkan pinjaman perniagaan yang dijadualkan semula bagi suku pertama tahun ini.
Katanya, hasil pembabitan pihaknya dengan bank-bank menunjukkan permintaan terhadap bantuan kewangan masih rendah.
“Malah apabila pihak bank mendekati perniagaan tertentu, ada yang merasakan mereka belum memerlukan bantuan buat masa ini.
“Mungkin mereka akan memerlukannya kemudian, tetapi sekurang-kurangnya mereka tahu kemudahan dan bantuan itu tersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan perkembangan bantuan kewangan dan langkah sokongan kepada PKS serta isi rumah yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi semasa pada sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin.
Abdul Rasheed berkata, sektor kewangan kekal komited untuk terus menyokong PKS terutama sektor yang lebih terdedah kepada konflik dan ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata, industri kewangan kini memberi tumpuan kepada pendekatan “4R” iaitu Restructuring & Rescheduling (R&R), Relief, Reach dan Resilience.
Katanya, PKS yang menghadapi cabaran pembayaran balik pembiayaan boleh mendapatkan bantuan penstrukturan dan penjadualan semula menerusi lebih 20 institusi kewangan di seluruh negara.
Selain itu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan penyelesaian pembayaran balik berstruktur termasuk Small Debt Resolution Scheme (SDRS) dan Debt Management Programme (DMP) bagi membantu PKS mengurus obligasi kewangan mereka.
Kemudahan bantuan bersasar turut disediakan untuk mengurangkan tekanan aliran tunai jangka pendek termasuk Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS (SME SRF) bernilai RM5 bilion, CAKNA untuk pengurusan penerimaan bayaran serta Skim Pembiayaan Mikro (SPM) bagi usahawan mikro.
Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) turut menawarkan skim jaminan khas bagi menyokong usaha penstrukturan semula serta pembiayaan modal kerja baharu.
“Bantuan juga perlu sampai kepada mereka yang memerlukan pada masa yang tepat. Sehubungan itu, bank-bank komited untuk meluluskan dan menyalurkan SME SRF dengan segera.
“Saluran khidmat nasihat khas turut disediakan bagi membantu PKS menghadapi ketidaktentuan semasa termasuk melalui Pusat Khidmat Pelanggan CGC, SME Helpdesk AKPK dan BNMLINK.
“BNM dan CGC juga akan mewujudkan skim jaminan bernilai RM10 bilion bagi menyokong penambahbaikan struktur perniagaan dan memperkukuh daya tahan PKS dalam jangka panjang,” katanya.




