KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis ini, namun mungkin menaikkan kadar berkenaan lewat tahun ini.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata MPC perlu mula mempertimbangkan kemungkinan menaikkan kadar faedah pada akhir tahun memandangkan BNM tidak menaik kadar sejak Mac 2023.
Katanya, unjuran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama sebanyak 5.3 peratus menunjukkan ekonomi kekal berdaya tahan meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.
“Inflasi juga meningkat seiring pertumbuhan, namun masih pada tahap sederhana. BNM turut menyemak naik unjurannya dengan menyatakan inflasi boleh mencecah 2.5 peratus pada 2026.
“Justeru, terdapat asas untuk menjangkakan satu kenaikan kadar faedah lewat tahun ini, namun ia bergantung kepada prestasi ekonomi dan inflasi dalam tempoh terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, terdapat faktor yang boleh menjejaskan perancangan BNM termasuk kenaikan harga minyak yang berkemungkinan meningkatkan inflasi.
“Tarif baharu daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump juga boleh menjejaskan eksport Malaysia. Bagaimanapun, ketidaktentuan ini dijangka tidak akan mengubah keputusan MPC dalam mesyuarat pada 7 Mei,” katanya.
Mengenai sektor hartanah, Kashif berkata kadar OPR yang tidak berubah menyokong kestabilan kadar pinjaman, sekali gus memastikan bayaran balik pinjaman perumahan kekal lebih terjangka serta memberi kejelasan kepada pembeli baharu.
“Kadar faedah semasa dilihat memberi sokongan kepada pasaran hartanah kediaman. Kediaman paling mendapat permintaan ialah dalam julat harga RM300,000 hingga RM600,000 di kawasan pinggir Kuala Lumpur, tanah besar Pulau Pinang dan Johor.
“Johor terus wajar diberi perhatian khusus. Harga rumah di negeri itu meningkat 6.9 peratus tahun lalu, tertinggi berbanding negeri lain, manakala pelaburan rentas sempadan dan infrastruktur menunjukkan permintaan akan terus berkembang,” katanya.
-BERNAMA




