KUALA LUMPUR, 30 APR – Jurulatih golf bertauliah, Coach Azhar menyemarakkan sukan golf negara dengan bekerjasama bersama beberapa akademi bagi tujuan pembangunan sukan tersebut sekaligus memupuk minat masyarakat tanpa mengira peringkat umur.
Azhar Ismail yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maulana Sports Sdn. Bhd, berkata, pihaknya menyediakan pendidikan sukan tersebut kepada masyarakat seawal usia tujuh tahun sekaligus memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat.
Katanya, akademi yang ditawarkan tersebut turut melibatkan pelbagai peringkat kemahiran termasuk junior, elite junior dan professional dengan memberikan pendedahan secara menyeluruh dan mengalakkan pelatih untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sehingga bergelar pemain professional.
Tambahnya, sukan tersebut memerlukan pendedahan yang lebih meluas bagi menarik minat orang ramai menceburinya dan membuang anggapan bahawa sukan tersebut hanya untuk golongan tertentu sahaja.
“Pada peringkat junior yang mana melibatkan pelatih berumur dari tujuh hingga 17 tahun, Latihan akan tertumpu kepada pembangunan minat dan pendedahan untuk mengalakkan mereka meneruskan latihan hingga ke peringkat seterusnya.
“Pada elite junior mereka akan mula didedahkan dengan menyertai pertandingan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa selain menjadikan sukan tersebut sebagai karier,” katanya.
Azhar yang juga Pengasas Art Homer Golf Academy berkata, sukan golf menyediakan peluang yang cerah kepada mereka yang berminat menceburinya secara serius dan memerlukan pendedahan yang lebih meluas.
Tambahnya,pendedahan secara meluas akan menarik minat kanak-kanak dan remaja untuk menceburi sukan tersebut seterusnya melahirkan lebih ramai bakat baru dan mengubah persepsi mengenai sukan itu.
Selain terlibat dengan program pembangunan sukan golf di kalangan anak muda dan menguruskan akademi golf, Azhar turut terlibat menganjurkan program-program membabitkan sukan ini di seluruh negara.
Coach Azhar adalah jurulatih utama di Perlis Golf Academy (Perlis), Casa Leal Golf Academy( Selangor) dan Quaid Golf Akademi (Selangor).



