GUA MUSANG, 21 SEPT ( Berita Harian) – Kira-kira 600 penduduk Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini, terkandas apabila Jambatan Linggi yang menjadi laluan utama mereka keluar dan masuk ditenggelami air sejak pagi semalam.
Hujan sejak Sabtu lalu hingga semalam menyebabkan jambatan yang menjadi penghubung ke perkampungan Orang Asli kaum Mendriq dan Bateq terbabit tenggelam.
Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail, berkata penduduk di kampung itu kini terpaksa menggunakan perahu untuk keluar dari penempatan mereka.
Katanya, hujan berterusan menyebabkan air sungai melimpah dan menenggelamkan jambatan masuk ke perkampungan itu.
“Air naik sejak jam 11 pagi semalam dan sehingga kini masih belum surut sehingga menyebabkan kami tidak dapat keluar daripada penempatan ini.
“Jika ada kecemasan atau keperluan mendesak untuk keluar kami perlu menggunakan perahu untuk ke seberang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Penduduk, Norhayati Ahmad Yassin, 44, berkata dia kini tidak dapat keluar daripada perkampungan itu sejak semalam apabila air mula melimpahi jambatan.
“Pagi tadi saya tengok air masih lagi belum surut dan kami tidak dapat keluar ke mana-mana. Kejadian ini tidak dijangka kerana biasanya berlaku musim tengkujuh,” katanya.
Sementara itu, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 8.30 pagi tadimerekodkan 81 mangsa dengan 22 keluarga masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1.




