MASJID TANAH, 17 SEPT ( Berita Harian) – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sekadar menyatakan ‘tinggal satu Jumaat lagi’ apabila ditanya desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Tinggal satu Jumaat saja lagi,” katanya dalam nada berseloroh ketika ditanya media selepas merasmikan Sambutan Hari Warga Emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan Hari Kanak-kanak peringkat negeri di Villa d’ Acqua di sini hari ini.
Spekulasi pembubaran DUN Melaka pada minggu depan semakin bertiup kencang susulan perkembangan terkini di Melaka dalam tempoh seminggu ini.
Ab Rauf sebelum ini menyatakan DUN Melaka akan dibubarkan dalam tempoh ‘dua Jumaat lagi’ yang bermakna tinggal Jumaat esok.
Bagaimanapun, pembubaran DUN Melaka mungkin tidak berlaku esok, sebaliknya kemungkinan besar hanya diumum pada minggu depan, selewat-lewatnya 25 September bersamaan Jumaat.
Ini kerana, ketika ini berlangsung aktiviti turun padang membabitkan Ab Rauf menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi DUN Tanjung Bidara, kawasan diwakili Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah itu yang dijadual berakhir Ahad ini.
Sumber berkata, tarikh paling awal sedang menjadi perhatian ialah Rabu ini atau 23 September, sejurus selepas mesyuarat terakhir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bagi penggal ini.
Katanya, perkembangan itu turut mengambil kira jadual Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dijadual berangkat ke Jepun, Sabtu ini.
“Ketika ini, jangkaan lebih menjurus kepada minggu depan, seawal Rabu, 23 September atau selewat-lewatnya Jumaat depan.
“Jika mengikut perancangan, Ketua Menteri dijangka menghadap Yang di-Pertua Negeri sejurus beliau kembali ke tanah air,” katanya.
Mohd Ali dijadual ke Jepun bagi meninjau perjalanan Sukan Asia 2026, selain menjalankan tanggungjawab berkaitan peranan beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF).
Difahamkan, jadual kepulangan Mohd Ali pada asalnya pada 29 September turut dipendekkan kepada 22 September, sekali gus membuka ruang untuk urusan berkaitan pembubaran DUN selepas kepulangan beliau.
Sekiranya pertemuan antara Ab Rauf dengan Mohd Ali berlangsung pada 22 September, pengumuman pembubaran DUN pula dijangka dibuat pada hari berikutnya, iaitu 23 September bersamaan Rabu.
Spekulasi mengenai tarikh pembubaran semakin hangat selepas Ab Rauf sebelum ini memberi bayangan bahawa DUN Melaka hanya berbaki ‘dua kali Jumaat’ sebelum dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).




