KUALA LUMPUR, 1 SEPT ( Bernama) – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois susulan kenaikan nilai ambang pelaksanaan daripada RM1 juta kepada RM3 juta.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam kenyataan berkata langkah itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026.
Kenaikan ambang berkenaan akan berkuat kuasa mulai hari ini.
“Pengumuman ini turut memberi manfaat kepada keseluruhan lebih 1.1 juta peniaga yang mendapat pengecualian,” menurut LHDN.
LHDN berkata langkah itu mencerminkan usaha kerajaan mengurangkan beban pematuhan dan kos yang ditanggung PMKS.
Ia juga memberi ruang kepada golongan peniaga untuk terus memberi tumpuan kepada kelangsungan dan pengembangan perniagaan.
Bagaimanapun, kerajaan masih menggalakkan penyertaan PMKS secara sukarela dalam pelaksanaan e-Invois selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan perniagaan.
LHDN turut menegaskan komitmen untuk memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar menerusi aktiviti pendidikan, program bimbingan dan sesi libat urus secara berterusan.
“Inisiatif ini turut merangkumi panduan dan tutorial penggunaan Portal MyInvois, aplikasi MyInvois dan MyInvois e-POS bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai pelaksanaan e-Invois dalam kalangan PMKS,” menurut kenyataan itu.
Sejak pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos 2024, seramai 265,379 pembayar cukai sudah mengemukakan e-Invois.
Dalam tempoh itu, lebih 1.84 bilion e-Invois telah dikeluarkan.
LHDN berkata pencapaian berkenaan menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan pembayar cukai, termasuk PMKS, terhadap pelaksanaan e-Invois sebagai langkah mendigitalkan operasi perniagaan dan memastikan transaksi direkod serta disimpan secara lebih teratur.
Pembayar cukai yang memerlukan maklumat lanjut boleh mendapatkan panduan menerusi saluran rasmi LHDN, termasuk Portal MyInvois, Meja Bantuan e-Invois dan MyInvois Live Chat.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.
Langkah itu bermakna perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak lagi diwajibkan melaksanakan e-Invois.




