KUALA LUMPUR, 27 OGOS ( Berita Harian) – Satu mayat yang belum dikenal pasti identiti ditemui di dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), hari ini.
Mayat yang juga belum dikenal pasti jantina itu ditemui sekitar jam 6.55 pagi dalam ruang simpanan tayar pesawat dari Tokyo, Jepun, yang mendarat kira-kira jam 6.30 pagi.
Difahamkan, mayat yang memakai seluar jean dan berbaju putih itu dijumpai kakitangan kejuruteraan yang ditugaskan membuka ruang simpanan tayar pesawat berkenaan.
Berdasarkan maklumat diterima, kakitangan berkenaan terhidu bau busuk yang mencurigakan dari ruang simpanan tayar lalu membuka ruang itu dan menemui mayat berkenaan sebelum memaklumkannya kepada Bilik Gerakan Balai Polis KLIA2.
Unit Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), kemudian dipanggil ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa dianggarkan berusia dalam lingkungan 20-an dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih 72 jam.
Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat berkenaan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian mangsa.




