KUALA LUMPUR, 22 OGOS – Kerajaan dilaporkan sedang meneroka potensi pengambilalihan Datasonic Technologies Sdn Bhd, pembekal tunggal pasport antarabangsa dan MyKad negara, dalam satu urus niaga yang secara tentatif dianggarkan bernilai sekitar RM7.5 bilion.
Menurut laporan The Edge Malaysia, Datasonic Technologies merupakan unit milik penuh NexG Bhd, sebuah syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, NexG memaklumkan bahawa pihaknya telah diminta kerajaan untuk menyediakan harga indikatif bagi kemungkinan pengambilalihan Datasonic Technologies.Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan bahawa setakat ini tiada keputusan dibuat untuk meneruskan transaksi berkenaan dan tiada sebarang perjanjian dicapai dengan kerajaan.
Datasonic Technologies ketika ini dilaporkan mempunyai kontrak aktif bernilai kira-kira RM2.74 bilion dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum ini dipetik berkata kontrak berkenaan merangkumi pelbagai perkhidmatan dan pembekalan berkaitan dokumen serta kad pengenalan negara.Antaranya termasuk penyelenggaraan pusat pengeluaran kad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pembekalan MyKad, MyTentera dan MyPOCA terpakai (kosong), selain percetakan serta penghantaran dokumen keselamatan
.Kontrak tersebut turut meliputi pembekalan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) kepada Jabatan Imigresen Malaysia serta Kad Pengenalan Pekerja Asing (i-KAD).
Cadangan pengambilalihan itu, sekiranya diteruskan, akan menjadi transaksi bernilai besar membabitkan aset strategik yang berkaitan secara langsung dengan pengeluaran dokumen pengenalan dan perjalanan negara.Bagaimanapun, sebarang keputusan berhubung transaksi tersebut masih bergantung kepada penilaian kerajaan dan rundingan lanjut dengan NexG.




