KUALA LUMPUR, 19 OGOS ( Berita Harian) – RHB Bank Bhd memperkenalkan Makeover Flexi Loan, kemudahan pembiayaan bersepadu dengan kerjasama The Makeover Guys yang membolehkan pelanggan membiayai pembelian rumah dan kerja pengubahsuaian menerusi satu kemudahan sehingga 120 peratus daripada nilai hartanah.
Kerjasama itu memberi alternatif kepada pemilik rumah yang sebelum ini perlu mendapatkan pembiayaan berasingan atau menggunakan simpanan sendiri bagi menampung kos pengubahsuaian selepas membeli hartanah.
Makeover Flexi Loan menawarkan pembiayaan sehingga 90 peratus bagi pembelian hartanah, dengan tambahan sehingga 30 peratus untuk kerja pengubahsuaian, ‘Mortgage Reducing Term Assurance’ atau Takaful (MRTA/MRTT), selain kos guaman dan dokumentasi.
Kemudahan itu turut menawarkan tempoh pembiayaan sehingga 35 tahun atau sehingga peminjam mencapai usia 70 tahun, selain ciri Full Flexi yang membolehkan pelanggan membuat bayaran tambahan serta mengeluarkan semula dana berdasarkan keperluan kewangan.
Pembiayaan kerja pengubahsuaian akan disalurkan secara progresif mengikut pencapaian peringkat kerja kontraktor sepanjang proses pengubahsuaian dan sesuai untuk pemilik rumah serta pelabur hartanah.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Makeover Guys, Gavin Liew, berkata pengubahsuaian biasa boleh menelan kos antara RM50,000 hingga RM150,000 bergantung kepada jenis hartanah, menyebabkan ramai pembeli tidak bersedia menanggung perbelanjaan tambahan itu sejurus selepas membeli rumah.
Beliau berkata, terdapat pelanggan yang terpaksa menangguhkan perpindahan, melakukan pengubahsuaian bilik demi bilik selama beberapa tahun atau berkompromi dengan perancangan asal kerana tiada bajet pengubahsuaian tersedia.
“Makeover Flexi Loan mengubah keadaan itu dengan membolehkan pemilik rumah merancang pembelian hartanah dan pengubahsuaian secara serentak sejak awal,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Kewangan Pengguna, Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Bank, Sien Vee Loc, pula berkata keperluan pemilikan rumah yang semakin berubah memerlukan penyelesaian pembiayaan yang turut berkembang mengikut keperluan pelanggan, dengan pembiayaan hartanah dan pengubahsuaian sebelum ini lazimnya dianggap sebagai dua keputusan berasingan.
Beliau berkata, permintaan terhadap kerja pengubahsuaian rumah di Malaysia terus meningkat, dengan pasaran penambahbaikan dan pengubahsuaian kediaman bernilai RM47.7 bilion pada 2024 dan dijangka meningkat kepada RM59.2 bilion menjelang 2029.
Katanya, pada suku pertama 2026, segmen kediaman pula kekal penyumbang terbesar pasaran hartanah Malaysia, merangkumi 58.8 peratus daripada keseluruhan transaksi dengan hampir 53,000 transaksi bernilai lebih RM22 bilion.




